Seorang lelaki berusia 49 tahun, pada 28 Julai, dituduh membunuh seorang lelaki berusia 35 tahun yang ditemui mati sehari sebelumnya di lobi lif sebuah flat di Yishun Ring Road.
Affendi Yusoff, seorang warga Singapura, dituduh membunuh Encik Fiqri Choo Iskandar di lobi lif tingkat 10, Blok 803, Yishun Ring Road pada 8.37 pagi 27 Julai.
Dia ditangkap di tempat kejadian.
Kes Affendi akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 2 Ogos.
Kesalahan pembunuhan itu membawa kepada hukuman mati.
Dalam pada itu, walaupun kertas pertuduhan tersebut tidak memperincikan hubungan antara kedua-dua lelaki terbabit, siasatan awal mendedahkan mereka saling mengenali.
Mangsa juga dipercayai seorang penduduk di blok tersebut.
Polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan pada 27 Julai, dan pegawai yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa terbujur kaku.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh paramedik.
Berikutan kejadian itu, ramai pegawai polis dilihat di blok tersebut sewaktu akhbar The Straits Times pergi ke tempat kejadian pada 27 Julai.
Mayat yang terbaring berhampiran kawasan lif itu telah ditutup, sebelum dibawa pergi oleh polis pada 4.25 petang.
Darah juga dapat dilihat di lantai, parapet dan tembok flat di blok tersebut.
Polis telah mengepung kawasan kejadian bagi menjalankan siasatan.
Pegawai polis juga dilihat menggeledah tong sampah di kaki blok tersebut.
Beberapa penduduk memberitahu ST mereka terdengar dua lelaki bertengkar selama 10 minit sebelum kejadian itu berlaku antara 8 pagi dengan 9 pagi.
Menurut akhbar berbahasa Cina, Lianhe Zaobao, ibu bapa Encik Fiqri telah meninggal dunia dan beliau tinggal bersama ibu saudaranya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg