KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai membunuh ibunya sendiri dan menyimpan mayat wanita itu di dalam peti sejuk beku selama tiga tahun sejak 2021.
Perbuatan lelaki berusia 50-an tahun itu terbongkar selepas rumahnya di Jalan Hujan Abu 6, Taman OUG, Kuala Lumpur, diperiksa polis yang menerima panggilan daripadanya sendiri pada kira-kira 9 pagi, 12 November.
Lelaki itu dikatakan menghubungi talian kecemasan kerana tidak sihat dan pasukan yang tiba dimaklumkan mengenai ibunya berusia 80-an tahun dibunuh dan mayatnya disimpan dalam peti sejuk beku.
“Berdasarkan percakapan suspek, mangsa dipercayai dipukul sebelum dibalut dengan tuala dan plastik lalu diletakkan dalam peti ais itu.
“Suspek mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan, selain mempunyai masalah kesihatan kronik,” katanya, lapor Harian Metro.
Susulan laporan itu, sumber berkata sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek, manakala mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan polis.
Dalam satu kes berasingan, seorang ibu dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 ($3,018) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku salah melakukan penganiayaan terhadap anak lelakinya dengan mencederakan dan mengurung kanak-kanak tiga tahun itu di dalam sangkar pada Februari.
Wanita berusia 20 tahun itu, Nur Adriana Mysara Nazri, turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam enam bulan sebaik selesai menjalani hukuman mulai 12 November.
Selain itu, Hakim Norina Zainal Abidin mengarahkan ibu muda itu dikenakan bon jaminan berkelakuan baik untuk tempoh lima tahun dengan RM10,000 tanpa cagaran.
“Saya terpaksa letak anak dalam sangkar kerana perlu bekerja,” katanya ketika rayuan mengurangkan hukuman.
Mahkamah sama turut mengarahkan dua rakan wanita itu, Adibah Mohd Zaini, 35 tahun, dan Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 25 tahun, dijatuhi hukuman sama selepas mereka mengaku salah atas tuduhan sama.
Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama menyebabkan penganiayaan terhadap mangsa dengan menendang kanak-kanak itu beberapa kali hingga menyebabkan kecederaan.
Hasil pemeriksaan perubatan menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada kening, perut, belakang badan, tangan dan kaki kanak-kanak itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg