Lelaki dijel lebih 2 tahun tipu mangsa $89,000 dalam pelaburan palsu
Lelaki dijel lebih 2 tahun tipu mangsa $89,000 dalam pelaburan palsu
Seorang lelaki berkawan dengan seorang banduan semasa mereka sama-sama meringkuk dalam penjara pada 2022, hanya untuk menipu banduan tersebut sebanyak $89,000 dalam satu helah pelaburan selepas mereka dibebaskan.
Pada 9 Mac, Lee Chee Tiong, 45 tahun, yang tidak membuat sebarang ganti rugi, dijatuhi hukuman penjara dua tahun lima bulan selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan menipu.
Menurut The Straits Times (ST), dia telah memperdaya mangsa berusia 57 tahun itu untuk membuat ‘pelaburan’ dalam sebuah firma yang tidak wujud.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ryan Lim berkata selepas mereka dibebaskan daripada penjara, mangsa bekerja dalam perniagaan penghantaran bungkusan milik Lee.
Mangsa berhenti selepas bekerja dengan Lee selama dua bulan.
Pada November 2024, Lee menghadapi kerugian perniagaan yang besar dan tidak dapat membayar pekerjanya.
Dia kemudian merancang untuk mendapatkan wang daripada rakan bekas banduannya untuk membayar gaji pekerjanya.
Tidak lama kemudian, dia mendekati mangsa dan memikatnya melabur dalam perniagaan teksi limosin.
Mangsa menggunakan kaedah PayNow untuk memindahkan sejumlah $89,000 ke dua akaun bank atas arahan Lee.
Lee melaburkannya dalam mata wang kripto dan berjudi di kasino, kata DPP Lim.
Mangsa berhenti membuat pembayaran selepas 20 Disember 2024 kerana tidak menerima keuntungan yang dijanjikan.
Pada Februari 2025, Lee mengakui perniagaan teksi limosin itu tidak wujud. Dia ditangkap pada 27 Mei 2025.

