Seorang lelaki berusia 27 tahun yang bertindak sebagai orang suruhan kegiatan penipuan telah ditangkap polis, semuanya hasil bantuan seorang mangsa yang mengaturkan pertemuan dengannya.
Encik Mike Chen (bukan nama sebenar), 20 tahun, memberitahu polis bahawa beliau akan bertemu suspek di bahagian barat Singapura untuk menyerahkan wang tunai $30,000.
Pegawai polis yang menunggu suspek, menahan penipu itu sejurus selepas dia tiba di lokasi yang dijanjikan sekitar tengah hari pada 9 April.
Encik Chen, pelajar program pertukaran dari China, ialah mangsa penipuan melibatkan penyamaran pegawai pemerintah China.
Pada 2024, terdapat 1,504 kes penipuan yang melibatkan mangsa kehilangan $151.3 juta.
Daripada jumlah tersebut, 353 kes melibatkan penyamaran pegawai pemerintah China.
Mangsa penipuan di Singapura kehilangan rekod tertinggi $1.1 bilion sepanjang 2024.
Encik Chen memberitahu media pada 5 Mei bahawa penipu itu, yang mendakwa sebagai pegawai penyiasat dari China, menghubunginya pada Februari.
Lelaki itu memberitahu Encik Chen bahawa kad banknya dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram antarabangsa dan menuduhnya sebagai ‘suspek’ dalam jenayah itu.
Lelaki itu kemudian mengarahkan Encik Chen supaya membuka kamera komputer ribanya di dalam biliknya setiap hari supaya beliau boleh dipantau.
Selepas pengawasan selama sebulan, lelaki tersebut memberitahu beliau boleh diselamatkan dengan bayaran $70,000.
“Pegawai penyiasat berkata dia akan menjadi penjamin saya, tetapi saya perlu mempunyai wang dalam akaun bank saya,” kata Encik Chen dalam bahasa Mandarin.
Pada 9 April, Encik Chen menerima panggilan telefon daripada pegawai palsu itu, yang menyuruhnya mengeluarkan wang dari akaun banknya dalam dua jumlah dan menyerahkannya kepada ‘rakan sekerjanya’ yang merupakan orang suruhan mereka yang berpangkalan di Singapura.
Encik Chen bertemu lelaki itu di bahagian barat Singapura kira-kira 11 pagi dan menyerahkan $40,000 kepadanya.
Beliau bertemu lelaki yang sama di lokasi lain dan menyerahkan baki $30,000 kepadanya.
Tetapi Encik Chen mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
Beliau berkata: “Saya mahu wang saya dikembalikan, jadi saya minta pegawai polis menunggu di sana untuk menangkapnya.”
Semasa ditahan, polis merampas wang tunai $40,000 dan kad pengenalan polis palsu daripada lelaki berusia 27 tahun itu, yang menggunakan pas pelajar.
“Pegawai pemerintah dari negara lain tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk meminta orang awam di Singapura melakukan tindakan sedemikian,” kata polis.
Mereka yang disabit kesalahan menipu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg