Bertindak mengikut arahan pentadbir sebuah kumpulan Telegram, seorang lelaki membuka akaun bank yang kemudian digunakan untuk menerima lebih $952,000, termasuk sekurang-kurangnya $18,000 hasil penipuan.
Muhammad Zul Haziq Muhammad Hisam, 21 tahun, juga merekrut seorang remaja perempuan berusia 18 tahun untuk ‘menyewa’ akaun banknya, dengan menjanjikan ganjaran $1,400.
Setelah remaja itu menerima tawaran tersebut, akaun banknya menerima lebih $15,000 yang ada kaitan dengan satu penipuan melibatkan seorang pesara wanita berusia 72 tahun yang kerugian $338,640.
Remaja itu menerima $1,400, seperti yang dijanjikan. Zul, yang akaun banknya telah dibekukan sebelum ini kerana kesalahan berkaitan penipuan, menerima komisen $300 kerana merekrut remaja itu.
Pada 9 April, Zul, seorang warga Singapura, diperintah menjalani program pemulihan sekurang-kurangnya enam bulan, lapor The Straits Times (ST).
Dia akan ditahan di Pusat Latihan Pemulihan untuk menjalani program ketat, termasuk menghadiri kaunseling.
Zul mengaku bersalah bagi beberapa kesalahan, termasuk terlibat dengan hasil kegiatan jenayah.
Dalam prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ryan Lim, meminta mahkamah menilai kesesuaian Zul menjalani program pemulihan dan menolak permintaan bagi laporan kesesuaian probesen.
DPP Lim berkata meskipun pemulihan biasanya diutamakan untuk pesalah belia, pencegahan amat penting dalam kes ini, terutama kerana ia melibatkan institusi kewangan.
Individu yang didapati bersalah terlibat dalam memperolehi hasil daripada kegiatan jenayah boleh dihukum penjara hingga tiga tahun dan denda hingga $50,000.
Dokumen mahkamah menyatakan pada September 2023, remaja itu bertanya kepada Zul mengenai peluang pekerjaan.
Zul menghubungkannya dengan seseorang yang bernama ‘Yijin’ dan membentuk sebuah kumpulan sembang Telegram bersama mereka.
Melalui Telegram, Yijin mengarahkan remaja itu supaya memberi butiran banknya, menukar maklumat perbankan dalam talian, dan menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) melalui kiriman kepadanya.
DPP Lim berkata Zul sedar tindakan remaja itu menyerahkan kawalan akaun banknya kepada orang lain adalah salah, namun Zul “terdorong kerana peluang mendapat keuntungan”.
Zul dan remja itu masing-masing menerima ganjaran yang dijanjikan, iaitu $300 dan $1,400.
Lebih $15,000 didapati dipindahkan ke dalam akaun remaja itu dan kemudian dikeluarkan.
Pada Ogos 2024, Zul terlibat dalam satu lagi skim penipuan melalui kumpulan Telegram yang tertumpu pada perdagangan mata wang kripto.
Mengikut arahan pentadbir kumpulan itu, Zul membuka sebuah akaun bank dan terlibat dalam pembelian serta penjualan mata wang kripto.
Dia memindahkan hasil urus niaga itu tanpa mengesahkan sumber atau destinasi dana tersebut, kata DPP Lim.
Antara 9 dengan 25 September 2024, akaun bank itu menerima lebih $952,000, termasuk sekurang-kurangnya $18,000 hasil penipuan.
Sebahagian besar wang tersebut telah dikeluarkan, dan apabila polis membekukan akaun itu, hanya tinggal $2.51.
Pada Ogos 2024, Zul berhubung dengan pengguna Telegram bernama ‘Heidushes’, yang mengarahkannya membuka akaun bank baru dengan ganjaran $2,550.
Lebih $5,000 hasil penipuan disalurkan melalui akaun tersebut sebelum ia dibekukan oleh polis, dengan hanya tinggal satu sen.
Mahkamah menetapkan ikat jamin Zul sebanyak $10,000 pada 9 April, dan dia dijangka memulakan program pemulihan pada Mei.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg