Topik diikuti
Pergi ke BHkuMerino wira tidak disangka, bawa Sepanyol ke separuh akhir
Merino wira tidak disangka, bawa Sepanyol ke separuh akhir
Merino wira tidak disangka, bawa Sepanyol ke separuh akhir
INGLEWOOD (Amerika Syarikat): Sepanyol membuktikan mereka memiliki wira – Mikel Merino – untuk membawa juara Eropah itu ke separuh akhir Piala Dunia.
Pemain tengah Arsenal itu masuk daripada bangku simpanan untuk perlawanan kedua berturut-turut dengan meledakkan gol penentu – kali ini memastikan kemenangan 2-1 menentang Belgium.
Kemenangan itu bermakna Sepanyol mara ke separuh akhir kejohanan buat kali kedua. Kali terakhir adalah pada 2010.
Kehebatan Merino bakal membawa Sepanyol bertemu Perancis untuk tempat di perlawanan akhir di Dallas, pada 15 Julai.
Merino mengatasi halangan untuk menjadi pemain gantian handal Sepanyol
Beberapa pemain bola sepak gemar membina reputasi sebagai pemain gantian yang digelar ‘super sub’ – seseorang yang boleh masuk daripada bangku simpanan dan memberi impak besar.
Tetapi menjadi sebahagian daripada skuad Piala Dunia Sepanyol adalah sesuatu yang tidak dibayangkan oleh Merino beberapa bulan yang lalu.
Pada Januari, beliau mengalami kecederaan luar biasa – patah tulang di kakinya yang pakar pun tidak pernah lihat sebelum ini.
Ia bukan sahaja menyebabkan Merino tidak dapat beraksi untuk Arsenal, bahkan menimbulkan keraguan besar untuk menyertai Piala Dunia kerana beliau tidak dapat kembali beraksi untuk Gunners sehingga hanya sebulan sebelum kejohanan bermula.
Merino bukan sahaja kembali dan mendapatkan tempatnya dalam skuad Sepanyol, malah mampu membuktikan dirinya sebagai pemain yang tidak ternilai dalam usaha mereka ke peringkat separuh akhir.
Beliau menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk menghantar Portugal ke peringkat 16 terakhir dan mengulangi aksi tersebut ketika menentang Belgium.
“Mikel sungguh luar biasa,” kata pengurus Sepanyol, Luis de la Fuente, selepas meraih kemenangan di peringkat suku akhir.
“Beliau mempunyai banyak kualiti dan seorang pemain yang boleh bermain dalam apa jua pasukan dan beraksi dengan hebat.
“Bagi kami, ia merupakan keseronokan untuk memilikinya. Kami tahu bahawa tanpa gagal beliau sentiasa ada di sana,” tambahnya.
“Hakikat berada di sini sejak beberapa bulan yang lalu tidak dapat difikirkan,” kata Merino selepas kemenangan ke atas Portugal.
“Sekarang saya, seperti yang saya katakan sebelum ini, berada di titik tertinggi, menikmati salah satu saat paling bahagia dalam kerjaya saya.
“Sekarang saya ingat semua saat-saat buruk itu, semua orang yang telah menyokong saya, semua orang yang telah mendorong saya ketika saya sendiri kadangkala sukar untuk mempercayai bahawa saya boleh berada di sini,” katanya dengan penuh girang.
Secara tradisinya, beliau merupakan pemain tengah dan ketinggiannya telah menyaksikan beliau digunakan sebagai penyerang oleh pengurus Arsenal, Mikel Arteta, dan kali pertama beliau digunakan dalam peranan sedemikian adalah apabila beliau masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan dua gol menentang Leicester dalam kemenangan 2-0 pada Februari tahun lalu.
“Merino hanyalah salah seorang pemain yang muncul pada masa yang tepat, pada saat yang tepat dalam perlawanan besar,” kata bekas penyerang England, Wayne Rooney.
De la Fuente menambah:
“Beliau boleh menjadi penyerang terbaik dan pemain tengah terbaik kerana pemahamannya tentang perlawanan. Beliau mentafsirkan perlawanan dengan sempurna.
De la Fuente berkata bahawa perlawanan separuh akhir Piala Dunia dengan Perancis pada 14 Julai (waktu tempatan) adalah “perlawanan akhir sebelum perlawanan akhir”.
Beliau berkata pasukannya “mampu menewaskan mana-mana pasukan”, termasuk pasukan pilihan kejohanan Perancis dan penyerang sensasi, Kylian Mbappe.
“Bukan keterlaluan untuk menggambarkan perlawanan ini sebagai perlawanan akhir sebelum perlawanan akhir.
“Kami adalah salah satu pasukan yang mampu mencapai perlawanan akhir. Mulai sekarang, kami memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Perancis.
“Kami sedar akan potensi besar mereka, tetapi kami juga tahu bahawa kami adalah satu-satunya pasukan yang telah menewaskan mereka dalam dua perlawanan separuh akhir,” kata De la Fuente selepas perlawanan.
Sepanyol menewaskan Perancis dalam perlawanan separuh akhir Euro 2024 dalam perjalanan mereka untuk menjadi juara Eropah dan juga dalam perlawanan separuh akhir Liga Negara-Negara 2005. – Agensi berita.
