ARLINGTON (Texas): Pemain penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo, mengakhiri Piala Dunia terakhirnya dengan kepahitan apabila jaringan saat-saat akhir pemain tengah Sepanyol, Mikel Merino, menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada pasukan itu dalam pusingan 16 terakhir pada 6 Julai.

Namun, beliau enggan membuat keputusan terburu-buru mengenai masa depannya di pentas antarabangsa.

Ronaldo memberitahu wartawan bahawa Sepanyol memperoleh “sedikit tuah” apabila pemain gantian, Merino, menjaringkan gol pada saat-saat akhir perlawanan yang menurutnya, boleh memihak kepada mana-mana pasukan.

“Saya sedih meninggalkan Piala Dunia seperti ini. Saya telah memberikan segala-galanya. Saya telah melakukan yang terbaik dan meninggalkan kejohanan ini dengan hati yang tenang,” katanya.

“Ya, ini adalah Piala Dunia terakhir saya, tetapi kini saya ada masa untuk bermuhasabah dan bersama keluarga. Saya tidak akan membuat keputusan terburu-buru.”

Pemain berusia 41 tahun itu tidak mengesahkan sama ada beliau telah bermain perlawanan terakhirnya bersama Portugal, sambil berkata keputusan peribadinya tidak harus mengalihkan perhatian daripada kempen pasukan kebangsaan itu.

“Saya tidak membuat keputusan ketika perasaan masih memuncak,” katanya.

Ronaldo, yang membantu Portugal menjuarai Kejohanan Eropah 2016 serta Liga Negara-Negara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pada 2019 dan 2025, berkata beliau berbangga dengan sumbangannya kepada pasukan kebangsaan itu.

“Saya telah memenangi tiga gelaran untuk Portugal; sebelum Cristiano Ronaldo, Portugal belum pernah memenangi walau satu gelaran pun,” katanya.

“Gelaran terbesar yang pernah dimenangi pasukan kebangsaan ialah Kejohanan Eropah 2016, yang sejujurnya sama penting bagi saya seperti Piala Dunia.”

Penyingkiran Portugal itu turut disusuli dengan pemergian Roberto Martinez sebagai pengurus, dan Ronaldo menyampaikan penghargaan kepada jurulatih dari Sepanyol itu.

“Saya sangat suka bekerja dengannya. Beliau pengurus yang hebat, insan yang baik, dan jasanya kepada Portugal wajar dipuji. Saya berterima kasih kepadanya dan mendoakan kebahagiaan baginya,” katanya.

“Memang menyedihkan apabila tersingkir daripada kejohanan besar, apatah lagi Piala Dunia. Pasukan ini sedang mencapai prestasi terbaiknya.

“Pada pandangan saya, kami telah bermain dengan baik. Keputusannya boleh memihak kepada mana-mana pasukan, tetapi itulah bola sepak. Kami perlu bangkit dan terus berjuang.”

“Memang mengecewakan untuk tersingkir begini, tetapi kami masih boleh berbangga,” tambah penyerang kelab Saudi, Al-Nassr, itu. – Agensi berita.

Keputusan perlawanan yang dimainkan pada 7 Julai (waktu Singapura):

Portugal 0 Sepanyol 1

Amerika Syarikat 1 Belgium 4