Nahas libat 6 kenderaan di TPE, tiada cedera
Seorang pemandu teksi berusia 59 tahun sedang membantu siasatan polis selepas teksinya terlibat dalam kemalangan berbilang kenderaan di Ekspreswe Tampines (TPE) pada petang 23 Februari.
Menurut The Straits Times, polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka telah dimaklumkan tentang kemalangan yang melibatkan dua lori, dua kereta dan dua teksi di TPE menuju Ekspreswe Seletar (SLE) sekitar 1.20 petang.
SCDF telah memeriksa seorang individu yang dilaporkan mengalami cedera ringan tetapi beliau enggan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memaklumkan mengenai kemalangan itu dalam satu catatan di platform media sosial X sekitar 1.15 petang. Ia menasihati pengguna jalan raya supaya mengelakkan lorong yang terjejas.
Dalam video TikTok yang disiarkan oleh pengguna chubbsantoshi pada 23 Februari, sebahagian ekpreswe itu ditutup dengan kon trafik dipasang bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya mengenai nahas itu.
Lebih dekat dengan kawasan perlanggaran, motosikal Polis Trafik dan ambulans dilihat di sekitarnya.
Sebuah teksi dan sebuah kereta dapat dilihat di belakang sebuah lori yang terbaring dalam keadaan miring.
Serpihan daripada kemalangan itu dapat dilihat berhampiran di kawasan nahas berlaku.
Sebuah kereta lain juga dapat dilihat di hadapan lori, manakala sebuah lori lain diletakkan di garisan bertanda ‘chevron’ atau berbentuk v berwarna putih.
Pada 16 April lalu, seorang pemandu teksi lelaki berusia 59 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun dibawa ke hospital menyusuli kemalangan berangkai melibatkan tujuh kenderaan di TPE..
Kemalangan itu berlaku selepas susur keluar Punggol Road, menghala ke SLE.
Menurut polis, mereka dimaklumkan mengenai kemalangan itu – yang melibatkan sebuah teksi, dua kereta dan empat trak – pada 11.05 pagi.
Menurut SCDF, dua individu telah dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), manakala seorang individu lain yang mengalami kecederaan ringan, enggan dibawa ke hospital.
Kededua mangsa berada dalam keadaan sedar ketika dihantar ke hospital, tambah polis.

