Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ong Beng Seng akan letak jawatan pengarah urusan Hotel Properties

Apr 14, 2025 | 6:24 PM
Taikun hartanah Ong Beng Seng dijangka mengaku bersalah dalam kes mahkamah yang dikaitkan dengan bekas menteri pengangkutan S. Iswaran
Taikun hartanah Ong Beng Seng dijangka mengaku bersalah dalam kes mahkamah yang dikaitkan dengan bekas menteri pengangkutan S. Iswaran - Foto ST

Taikun hartanah Ong Beng Seng, yang dijangka mengaku bersalah dalam kes mahkamah yang dikaitkan dengan mantan menteri pengangkutan S. Iswaran, akan meletakkan jawatan sebagai pengarah urusan Hotel Properties Limited (HPL).

Beliau akan mengambil langkah itu pada penutupan mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat tersebut pada 29 April.

HPL berkata dalam satu pemfailannya pada 14 April bahawa Ong, 79 tahun, “ingin menumpukan lebih banyak masa untuk menguruskan keadaan perubatannya”.

Beliau juga tidak akan meletakkan dirinya bagi pemilihan semula sebagai pengarah lembaga pada AGM itu.

Ong menerajui HPL selama 45 tahun sejak mula dilantik pada Mac 1980.

Ketika ditanya oleh The Straits Times mengenai pengganti Ong, HPL berkata ia tidak mempunyai maklumat lanjut.

Ong dan isteri, Cik Christina Ong, menguasai kira-kira 60 peratus HPL secara langsung dan melalui syarikat induk, menurut laporan tahunan terbaru syarikat itu yang dikeluarkan pada 14 April.

Menurut ST, anak mereka tidak duduk dalam lembaga pengarah, tetapi abang Cik Ong, Encik David Fu Kuo Chen, ialah seorang pengarah.

Ong didakwa pada 4 Oktober 2024 bersubahat dengan penjawat awam untuk mendapatkan hadiah dan bersubahat menghalang keadilan.

Beliau dikenali secara meluas sebagai individu yang membawa perlumbaan malam Formula 1 ke Singapura pada 2008, dan memiliki hak bagi Grand Prix Singapura.

Iswaran dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan pada Oktober 2024 kerana mendapatkan hadiah daripada taikun hartanah itu.

Pada Februari, mantan menteri itu diletakkan dalam tahanan rumah.

Pada Februari, Ong dilaporkan sedang menerima rawatan untuk multiple myeloma, sejenis barah sel darah putih dengan ciri pertumbuhan luar biasa sel plasma yang berbahaya dalam sumsum tulang.

Beliau sebelum ini dijadual mengaku bersalah pada 2 April. Namun, perbicaraan itu dijadualkan semula pada 25 April untuk memberinya masa mendapatkan laporan lanjut daripada doktor mengenai keadaan kesihatannya.

HPL mempunyai kepentingan dalam 41 hotel di 17 negara di dunia pada akhir 2024, menurut laporan tahunannya.

Jenama terkenalnya termasuk Hotel dan Pusat Peranginan Como, Hotel Concorde, Hotel dan Pusat Peranginan Four Seasons, Hotel Hard Rock dan Marriott International.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg