Taikun hartanah, Ong Beng Seng, akan mengaku bersalah pada tarikh yang bakal ditetapkan berhubung kes dengan bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, selepas peguam Ong meminta lebih masa untuk mendapatkan laporan perubatannya.
Ong, 79 tahun, sepatutnya mengaku bersalah pada 2 April terhadap satu tuduhan bersubahat menghalang keadilan.
Jurucakap Ong berkata peguam jutawan itu telah memohon lebih masa dalam persidangan prabicara pada 26 Mac untuk mendapatkan laporan terperinci daripada doktor mengenai keadaan kesihatan Ong, pemantauan serta rawatan yang diperlukan.
“Ini akan memastikan semua maklumat yang berkaitan dapat dibentangkan dan dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh pihak pendakwaan dan mahkamah.
“Sehubungan itu, sebutan pengakuan bersalah yang sebelum ini ditetapkan pada 2 April, akan ditunda ke tarikh yang akan ditetapkan, setelah laporan perubatan diperoleh,” kata jurucakap Ong.
Ong diwakili pasukan peguam, termasuk Peguam Kanan Cavinder Bull dari Drew & Napier dan Encik Aaron Lee dari Allen and Gledhill, lapor The Straits Times (ST).
Ong didakwa pada 4 Oktober 2024 kerana bersubahat membantu seorang penjawat awam menerima hadiah dan bersubahat menghalang keadilan.
Di bawah Seksyen 165, adalah satu kesalahan bagi seorang penjawat awam menerima sebarang barang bernilai daripada mana-mana individu yang mempunyai hubungan rasmi dengannya, tanpa membuat bayaran atau memberi bayaran tidak mencukupi.
Menurut dokumen mahkamah, Ong didakwa telah menawarkan Iswaran pada Disember 2022 penerbangan dari Singapura ke Doha bernilai AS$7,700 ($10,400) menggunakan jet peribadinya.
Ong juga mengatur penginapan hotel satu malam di Four Seasons Hotel Doha bernilai $4,737.63 dan penerbangan kelas perniagaan ke Singapura bernilai $5,700 buat Iswaran.
Menurut dokumen mahkamah, Ong memberitahu Iswaran bahawa Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) telah merampas dokumen penerbangan untuk perjalanan pada Disember 2022 itu.
Pemberitahuan itu menyebabkan Iswaran meminta Ong mengenakan bayaran bagi penerbangan tersebut bagi mengelakkan siasatan.
Dalam pengumuman di Bursa Singapura pada 28 Februari, Hotel Properties Limited berkata Ong berhasrat untuk mengaku bersalah atas dakwaan menghalang keadilan.
Dakwaan lain akan dipertimbangkan untuk hukuman.
Ong antara beberapa individu yang disiasat CPIB berhubung kes Iswaran.
Iswaran, 62 tahun, menghadapi 35 tuduhan, kebanyakannya berkaitan dengan Ong.
Pejabat Peguam Negara (AGC) berkata tiada tuduhan tambahan akan dikenakan terhadap Ong dalam kes bekas menteri itu.
Iswaran dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan pada 3 Oktober 2024, antara lain, kerana menerima beberapa barangan bernilai daripada Ong.
Bagi kesalahan bersubahat dalam menghalang keadilan, Ong boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg