Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ong Beng Seng jalani rawatan barah

Feb 7, 2025 | 6:13 PM
Taikun hartanah, Ong Beng Seng, di Mahkamah Negara pada Oktober 2024. Ong berdepan satu pertuduhan bersubahat dalam kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan bersubahat dalam menghalang proses keadilan.
Taikun hartanah, Ong Beng Seng, di Mahkamah Negara pada Oktober 2024. Ong berdepan satu pertuduhan bersubahat dalam kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan bersubahat dalam menghalang proses keadilan. - Foto fail

Taikun hartanah Ong Beng Seng, yang menghadapi dua pertuduhan jenayah berhubung urusan dengan bekas menteri pengangkutan, S Iswaran, sedang menjalani rawatan barah, lapor The Business Times (BT).

Pada 7 Februari, mahkamah diberitahu bahawa peguam Ong akan “menyemak kedudukannya”. 

Apabila ditanya BT jika ini bermakna Ong sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengaku bersalah, seorang wakil jutawan itu enggan mengulas.

Peguam litigasi yang mengendalikan firma guamannya sendiri, Encik Amarjit Singh Sidhu, berkata ini mungkin bermakna pihak pembelaan sedang mengambil arahan lanjut daripada Ong dan berkemungkinan akan bertemu pihak pendakwaan untuk memuktamadkan kedudukan mereka. 

“Mereka sedang mengkaji kes itu dan mungkin memutuskan sama ada Ong akan mengaku bersalah atau menuntut perbicaraan,” jelasnya.

BT difahamkan bahawa Ong, 79 tahun, disahkan mengalami mieloma berganda atau ‘multiple myeloma’ – barah sel darah putih dengan ciri pertumbuhan luar biasa sel plasma yang berbahaya dalam sumsum tulang.

Pengarah urusan Hotel Properties Ltd (HPL) itu dikenali secara meluas sebagai individu yang membawa perlumbaan malam Formula 1 ke Singapura pada 2008, dan memiliki hak bagi Grand Prix Singapura.

Dia menghadapi satu pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dan satu pertuduhan bersubahat menghalang keadilan.

Pertuduhan pertama adalah atas kesalahan bersubahat di bawah Seksyen 165, yang melibatkan penerbangan dan penginapan hotel.

Ong didakwa menawarkan Iswaran perjalanan ke Doha pada Disember 2022, dan mengatur penerbangan menggunakan jet peribadinya untuk membawa Iswaran, yang ketika itu menteri, ke sana. 

Penerbangan itu bernilai AS$7,700 ($10,392).

Ong juga didakwa mengatur penginapan satu malam di Four Seasons Hotel Doha melalui GP Singapura yang bernilai $4,737.63.

Dia juga dikatakan menawarkan Iswaran penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura yang bernilai $5,700.

Pertuduhan kedua melibatkan dakwaan bahawa pada Mei 2023, Ong telah mengarahkan pengarah GP Singapura, Encik Mok Chee Liang, mengenakan bayaran tiket penerbangan kelas perniagaan itu kepada Iswaran – satu tindakan yang boleh menghalang proses keadilan.

Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 165 boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya. 

Jika didapati bersalah bersubahat, hukuman yang sama akan dikenakan.

Bagi kesalahan menghalang proses keadilan, hukum maksimum adalah penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.

Ong sebelum ini meninggalkan Singapura pada Oktober 2024 untuk lawatan kerja dan mendapatkan rawatan perubatan di London, Boston, Gibraltar dan Sepanyol.

Taikun itu, yang jaminannya dilanjutkan, akan kembali ke mahkamah pada 28 Februari untuk persidangan praperbicaraan ketiga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg