Topik diikuti
Pergi ke BHkuPegawai latihan didapati bersalah tolak wanita kurang upaya intelektual sehingga lutut terkehel
Pegawai latihan didapati bersalah tolak wanita kurang upaya intelektual sehingga lutut terkehel
Pegawai latihan didapati bersalah tolak wanita kurang upaya intelektual sehingga lutut terkehel
Berang kerana salah seorang individu di bawah jagaannya tidak mengikut arahannya, seorang wanita yang bekerja sebagai pegawai latihan di sebuah agensi perkhidmatan sosial telah menolak mangsa.
Tolakan itu menyebabkan lutut kiri mangsa terkehel dan retak, menyebabkan beliau kesakitan dan tidak dapat berdiri atau berjalan dengan sendiri.
Pada 7 Julai, Nur Amira Shahirah Azmi, 21 tahun, disabitkan atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja terhadap wanita itu.
Dia akan kembali ke mahkamah pada 7 Ogos untuk dijatuhi hukuman.
Perintah sekatan telah dikenakan ke atas identiti mangsa dan lokasi kejadian itu berlaku.
Pendakwa raya berkata mangsa tergolong dalam golongan rentan, setelah didiagnosis dengan kurang upaya intelektual pada 2015.
Mahkamah mendengar bahawa pada 30 Ogos 2024, mangsa dan seorang lagi klien sedang duduk di dalam sebuah bilik sambil menunggu untuk mengambil makan tengah hari mereka.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Cheryl Tan berkata mangsa sebelum ini telah diarahkan supaya tidak membantu klien lain, kerana pegawai latihan mahu mereka menjadi lebih berdikari.
Apabila tiba giliran kedua-dua mereka untuk mengambil makan tengah hari, mangsa menghulurkan tangannya kepada klien lain itu untuk membimbingnya ke arah pintu depan bilik tersebut.
Salah seorang pegawai latihan mengingatkan mangsa supaya tidak membantunya.
Pada ketika itu, Amira terdengar rakan sekerjanya bercakap dengan mangsa dan menjadi marah kepada mangsa kerana tidak mengikut arahan.
Amira bergegas menghampiri mangsa dan memarahinya, menyebabkan mangsa berundur kembali ke dalam bilik.
Menggunakan tangan kanannya, Amira kemudian menolak bahu mangsa, menyebabkan mangsa jatuh ke lantai.
DPP Tan berkata Amira terus memarahi mangsa walaupun mangsa sedang menangis di lantai.
Mangsa menunjuk ke arah lutut kirinya, menyebabkan Amira menyingsing seluar mangsa untuk memeriksa keadaan itu, tetapi Amira tidak dapat melihat sebarang tanda kecederaan yang jelas.
Pada hari sama, pegawai latihan lain perasan bahawa mangsa tidak lagi dapat berdiri atau berjalan.
Amira kemudian memaklumkan keadaan mangsa itu kepada penyelianya, tetapi berkata dia tidak tahu mengapa mangsa mengalami kesakitan.
Mangsa dibawa ke hospital pada petang itu, di mana doktor mendapati beliau mengalami kecederaan terkehel itu serta beberapa keretakan tulang berkaitan.
Walaupun kecederaan itu tidak memerlukan sebarang pembedahan, mangsa dipasang dengan penyokong lutut selama enam minggu untuk memulihkan pergerakannya.
Pada 7 Julai, DPP Tan memberitahu mahkamah bahawa kecederaan itu berkemungkinan meninggalkan kesan berpanjangan, memandangkan mangsa masih belum memperoleh semula pergerakan penuhnya semasa pemeriksaan perubatan paling baru-baru ini.
