Seorang lelaki berusia 22 tahun dituduh melanggar seorang atendan pam di sebuah stesen minyak di Upper Changi Road North ketika dia dikatakan berada di bawah pengaruh dadah.

Kereta yang dipandunya pula telah dibatalkan pendaftarannya, lapor The Straits Times.

Di mahkamah pada 8 Ogos, Ray Png AZ, telah didakwa dengan sejumlah lapan pertuduhan, termasuk memandu tanpa lesen yang sah, memandu tanpa berhati-hati dan tidak memberi perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kematian dan memandu di bawah pengaruh dadah.

Png didakwa berada di stesen minyak Esso berkenaan kira-kira 3.55 pagi pada 6 Ogos.

Dalam kenyataan terdahulu, polis berkata kejadian itu berlaku apabila pemandu sebuah kereta tiba-tiba mengundurkan keretanya ketika seorang atendan pam berusia 69 tahun hendak mengisi minyaknya.

Pintu pemandu yang dikatakan masih terbuka, kemudian melanggar atendan tersebut yang menyebabkan beliau terjatuh dan kepalanya terhantuk ke lantai.

Atendan yang cedera itu segera dikejarkan ke hospital dan kemudiannya dilaporkan meninggal dunia.

Polis berkata pemandu itu meninggalkan kenderaannya selepas kejadian itu dan segera melarikan diri daripada tempat kejadian bersama penumpang wanitanya.

Kedua-duanya ditangkap polis pada hari yang sama.

Penumpang wanita itu sedang disiasat kerana mengambil dadah terkawal dan bersubahat dengan pemandu tersebut.

Polis berkata kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya boleh menimbulkan bahaya serius kepada semua pengguna jalan raya kerana ia tidak mempunyai perlindungan insurans dan mungkin tidak memenuhi piawaian keselamatan.

“Apabila dikendalikan oleh pemandu tanpa lesen atau bawah umur, risiko ini akan meningkat dengan ketara,” kata polis.

Bagi pemandu kenderaan bermotor tanpa lesen yang sah, mereka boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Kenderaan itu juga boleh dilucutkan haknya.

Jika disabitkan kesalahan memandu tanpa penjagaan dan perhatian yang sewajarnya sehingga menyebabkan kematian, pesalah boleh dikenakan denda sehingga $10,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Bagi pemandu di bawah pengaruh dadah, pesalah boleh didenda antara $2,000 dengan $10,000, dipenjara sehingga setahun, atau kedua-duanya. Pesalah juga boleh kehilangan kelayakan untuk memandu semua kelas kenderaan.

Mereka yang disabitkan kesalahan memandu kenderaan yang dibatalkan pendaftarannya boleh didenda sehingga $20,000, dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kes Png dijadualkan untuk persidangan sebelum perbicaraan pada 28 Ogos.