Topic followed successfully
Go to BHkuPemandu dijel libat dalam 2 nahas selepas ambil ubat tanpa preskripsi
Pemandu dijel libat dalam 2 nahas selepas ambil ubat tanpa preskripsi
Pemandu dijel libat dalam 2 nahas selepas ambil ubat tanpa preskripsi
Seorang lelaki memandu keretanya pada Jun 2022 sejurus selepas mengambil ubat tanpa preskripsi doktor, termasuk ubat batuk, dan akhirnya melanggar bendul di tepi jalan.
Muhammad Fahmi Johari, yang merupakan pemandu kereta sewa persendirian, kemudian didapati mempunyai lebih 15 bahan ubatan dalam sampel darahnya, yang kebanyakannya boleh menjejas keupayaannya untuk memandu kenderaan.
Ia termasuk kodeina, bahan yang terdapat dalam beberapa ubat batuk, diazepam – yang digunakan untuk merawat gangguan keresahan – dan pseudoefedrin, untuk merawat selesema serta alahan.
Pada 2023, dia sekali lagi terlibat dalam kemalangan semasa memandu kereta, menyebabkan pemandu kenderaan lain mengalami patah tulang jari kelengkengnya.
Pada 11 Mei, Fahmi, 40 tahun, dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan denda $6,000.
Dia mengaku bersalah kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan bahan yang memabukkan, serta menyebabkan kecederaan parah kepada orang lain.
Bagi kesalahan kedua, dia juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan semua kelas lesen memandu untuk tempoh enam tahun mulai 11 Mei.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Valerie Lim memberitahu mahkamah Fahmi mengaku meminum kira-kira 90 mililiter ubat batuk tanpa preskripsi doktor pada 19 Jun 2022.
Sebagai pemandu kereta sewa persendirian, dia mula memandu sekitar 10 malam.
Semasa memandu di Yishun Central sekitar 3.30 pagi pada 21 Jun 2022, dia dikatakan hilang kawalan keretanya.
Kereta itu melanggar pembahagi tengah jalan, menaiki batu di tepi jalan dan bergerak di sepanjang pembahagi jalan sebelum berhenti di perhentian bas.
Pegawai polis, yang tiba di tempat kejadian, mendapati Fahmi tidak stabil dan pertuturannya tidak jelas.
Dia ditangkap pada pagi itu dan sampel darahnya kemudian didapati mengandungi dadah tersebut.
Dalam kejadian sekitar 8.30 malam pada 19 Jun 2023 pula, Fahmi didapati gagal memerhatikan keadaan di hadapannya.
Kenderaan itu melanggar bahagian belakang kereta lain yang menyebabkan pemandunya patah tulang jari kelengkengnya dan perlu menjalani pembedahan di klinik pesakit luar.
