Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tipu: Wanita Britain dalam dokumentari Netflix didakwa di S’pura

Apr 6, 2025 | 8:32 PM
Kes Dionne Marie Hanna diketengahkan dalam Con Mum, sebuah dokumentari tentang bagaimana wanita itu menipu anaknya, seorang cef pastri di London, Cef Graham Hornigold, setelah bertemu kembali dengan anaknya itu 45 tahun selepas kelahirannya, pada 2020. 
Kes Dionne Marie Hanna diketengahkan dalam Con Mum, sebuah dokumentari tentang bagaimana wanita itu menipu anaknya, seorang cef pastri di London, Cef Graham Hornigold, setelah bertemu kembali dengan anaknya itu 45 tahun selepas kelahirannya, pada 2020.  - Foto SHIN MIN

Seorang wanita Britain yang diketengahkan dalam dokumentari baru di Netflix mengenai bagaimana dia menipu anaknya sendiri untuk menyerahkan £300,000 ($520,000) kepadanya, telah didakwa di mahkamah di Singapura atas penipuan terhadap tiga individu.

Kes Dionne Marie Hanna ditampilkan dalam Con Mum, dokumentari tentang bagaimana wanita itu menipu anaknya, seorang cef pastri di London, Cef Graham Hornigold, setelah bertemu kembali dengan anaknya itu 45 tahun selepas kelahirannya, pada 2020. 

Hanya selepas tayangan program Netflix itu, polis Singapura mendapat laporan mengenai Hanna, dan dia ditangkap pada 28 Mac.

Pada 5 April, Hanna, 84 tahun, menghadapi lima tuduhan di Mahkamah Negara kerana penipuan dengan penyataan palsu, melibatkan tiga mangsa, lapor The Straits Times (ST).

Menurut dokumen mahkamah, ketika berada di Hotel Grand Hyatt di 10 Scotts Road dari 13 hingga 14 Februari 2025, dia memberi penyataan palsu kepada Encik Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin bahawa dia menghidap barah. 

Dia didakwa telah berbohong kepada Encik Mohamed Ariffin bahawa dia ingin menderma $3 juta kepada Masjid Khalid dan $2 juta kepada Khidmat Masyarakat Mawar.

Antara 17 Februari dengan10 Mac di Singapura, Hanna didakwa berbohong kepada Encik Paiman Supangat bahawa dia berasal dari keluarga diraja Brunei, menghidap barah serta ingin mengagihkan harta pusakanya kepada Encik Paiman dan anaknya.

Semasa berada di Perancis antara 28 Februari dengan 10 Mac, Hanna didakwa berbohong kepada Encik Paiman bahawa dia berhasrat untuk memulangkan wang yang dipinjam daripada Encik Paiman untuk membeli-belah.

Hanna juga didakwa membuat penyataan palsu kepada Encik Paiman semasa dia berada di Perancis antara 3 dengan 5 Mac, yang menyebabkan Encik Paiman mempercayai bahawa beliau perlu melunaskan bayaran guaman agar dapat menerima harta pusaka daripada Hanna.

Wanita warga Britain itu kembali ke Singapura pada 10 Mac, dan didakwa berbohong kepada Encik Mohamed Syafiq Paiman bahawa dia menghidap barah dan ingin mengagihkan hartanya kepada anak Encik Paiman itu.

Dalam satu kenyataan pada 4 April, polis Singapura berkata, sejak 28 Mac, mereka mula menerima laporan daripada individu yang didakwa telah ditipu oleh Hanna.

Untuk memanfaatkan peluang pelaburan dan memperoleh harta pusakanya, mereka diminta untuk memindahkan wang bagi bayaran guaman dan membuka akaun bank luar negara, tambah polis.

“Wanita itu didakwa telah berjanji kepada mangsa yang wang mereka akan dibayar semula melalui harta pusakanya. Mangsa mempercayai bahawa pelaburan dan pemberian harta pusakanya adalah benar dan membuat beberapa pemindahan wang kepadanya,” jelas polis.

Pada 5 April, mahkamah memerintahkan Hanna ditahan reman selama seminggu selepas dia keluar dari Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Tarikh perbicaraan seterusnya adalah pada 11 April.

Bagi setiap tuduhan penipuan melalui dakwaan palsu, Hanna boleh dihukum penjara hingga 20 tahun, didenda, atau kedua-duanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg