Seorang lelaki menipu Majlis Bandaran Tampines dengan mengenakan bayaran untuk produk yang lebih mahal daripada yang dibekalkan, menyebabkan pembayaran tambahan $233,000 untuk pam air.
Akibatnya, dia dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada 13 Mei.
Zhang Shuyan, 59 tahun, yang ketika itu merupakan pengarah urusan syarikat penyelenggaraan dan pemasangan elektrik dan mekanikal FYH Integrated, mengaku bersalah pada April atas satu tuduhan memalsukan akaun majlis bandaran.
Sebelum menjatuhkan hukuman pada 13 Mei, Hakim Daerah Kenneth Chin menyatakan bahawa lelaki Singapura itu telah memulangkan sepenuhnya serta membayar sebahagian besar jumlah tersebut sebelum didakwa, menurut laporan The Straits Times (ST).
Bagaimanapun, hakim menegaskan bahawa kes Zhang melibatkan dana awam dan penipuan itu berlaku selama setahun.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) David Koh dan Yeow Xuan menyatakan dalam dokumen mahkamah bahawa tertuduh dan isterinya menubuhkan syarikat itu pada 2009 dengan modal $500,000.
Syarikat itu kemudian memeterai kontrak tiga tahun dengan Majlis Bandaran Tampines pada Februari 2016 untuk kerja-kerja yang berkaitan dengan pam dan sistem pembersihan tempat pembuangan sampah.
FYH bertanggungjawab untuk penyelenggaraan, servis dan pembaikan pam di blok-blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam kawalan Majlis Bandaran tersebut. Syarikat itu juga diberikan kontrak untuk menggantikan pam yang rosak di blok HDB.
Kontrak tersebut merangkumi jadual kadar, dengan senarai barangan dan harga yang berkaitan yang akan dibilkan oleh FYH kepada majlis bandaran.
Antara April 2016 dan Julai 2017, syarikat Zhang menggantikan 267 pam air satu peringkat di kawasan Tampines.
Namun, Zhang telah menjual produk tersebut sebagai pam air pelbagai peringkat yang berharga lebih $1,400 setiap satu, sedangkan pam satu peringkat hanya berharga sekitar $550.
Majlis bandaran menerima 203 invois untuk penggantian pam tersebut dan membayar lebih daripada $380,000 kepada FYH.
Penipuan Zhang terbongkar pada 2017 selepas ejen pengurusan majlis bandaran menyedari FYH mengenakan caj untuk pam pelbagai peringkat walaupun hanya pam satu peringkat yang dipasang.
Selepas penipuan itu terbongkar, Zhang bersetuju memulangkan lebih $233,000, iaitu jumlah wang tambahan yang telah dibayar oleh majlis bandaran kepada syarikatnya.
Dia kemudian didakwa pada 2024.
Pesalah yang didapati bersalah kerana memalsukan akaun boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg