Pihak pendakwa memperhebat soalan terhadap ketua Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, mengenai percanggahan antara keterangan beliau dengan Encik Low Thia Khiang.
Dalam sesi soal balas yang memasuki hari ketiga pada 8 November, pihak pendakwa, yang diketuai Timbalan Peguam Negara (DAG) Ang Cheng Hock, bertanya kepada Encik Pritam sama ada beliau mencadangkan bahawa Encik Low, mantan Setiausaha Agung WP, telah berbohong.
Encik Pritam berkata bahawa pihak pendakwa perlu membuat kesimpulan itu sendiri.
Beliau berkongsi segalanya dengan Encik Low kerana itulah sifat hubungannya dengan Encik Low, yang berundur daripada jawatan sebagai ketua WP pada 2018.
Semasa perbicaraan pada 23 Oktober, Encik Low tampil memberi keterangan mengenai lawatan Encik Pritam dan Cik Sylvia Lim, pengerusi WP, ke rumahnya pada 11 Oktober 2021.
Encik Low berkata Encik Pritam dan Cik Lim mengunjungi rumahnya kerana mereka menimbangkan untuk mengadakan sidang media agar Cik Raeesah Khan, bekas Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, memohon maaf.
Ini menyusuli pembohongan yang diutarakan di Parlimen pada 3 Ogos 2021 berkaitan beliau menemani seorang mangsa rogol ke balai polis.
Encik Low menambah tiada siapa yang memberitahunya tentang sebarang rancangan untuk Cik Raeesah membuat penjelasan di Parlimen.
Namun semasa sesi soal balas pada 8 November, sambil memetik kenyataan polis yang diberikan oleh Encik Pritam bertarikh 16 Januari 2023, DAG Ang berkata Encik Pritam memberitahu polis beliau telah memaklumkan Encik Low semasa pertemuan itu bahawa Cik Raeesah akan menjelaskan butiran anekdotnya di Parlimen.
Ini bercanggah dengan apa yang Encik Low jelaskan dalam keterangannya di mahkamah pada 23 Oktober, kata DAG Ang, lapor The Straits Times.
Encik Pritam berkata: “Seperti yang saya nyatakan, itu mungkin pendirian Encik Low. Tetapi pendirian saya adalah apa yang saya katakan dalam kenyataan (polis).”
Menurutnya, beliau tidak dapat ingat butiran tepat semasa pertemuan itu, tetapi beliau dan Cik Lim telah mengambil pendirian bahawa Cik Raeesah perlu berterus terang di Parlimen.
DAG Ang kemudian bertanya siapa yang berbohong dan menyatakan: “Baiklah, jadi beliau (Encik Low) berbohong, atau awak berbohong?”
Encik Pritam berkata ia adalah satu kesimpulan yang perlu dibuat oleh pihak pendakwa.
Encik Pritam dikenakan dua pertuduhan berhubung dakwaan pembohongannya kepada COP yang bersidang pada November 2021 untuk menyiasat pembohongan Cik Raeesah di Parlimen.
Cik Raeesah telah berbohong di Parlimen pada 3 Ogos 2021 mengenai beliau menemani seorang mangsa rogol ke balai polis dan telah mengakui pembohongan tersebut di Parlimen pada 1 November 2021.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg