Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SCDF: Bateri PMD mungkin punca kebakaran maut di Jalan Bukit Merah

Aug 14, 2025 | 4:04 PM
Penduduk bergegas ke tingkat bawah Blok 106, Jalan Bukit Merah, selepas api menjilat sebuah flat di tingkat empat pada 13 Ogos 2025.
Penduduk bergegas ke tingkat bawah Blok 106, Jalan Bukit Merah, selepas api menjilat sebuah flat di tingkat empat pada 13 Ogos 2025. - Foto ST

Kebakaran maut di flat Bukit Merah pada 13 Ogos mungkin berpunca daripada pek bateri alat pergerakan peribadi (PMD) di ruang tamu.

Ini berdasarkan dapatan awal siasatan melibatkan kes kebakaran itu, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), dalam kemas kini di Facebooknya pada 14 Ogos.

Orang ramai tidak seharusnya membiarkan bateri atau peranti dicas untuk tempoh yang lama atau membiarkan bateri dicas tanpa pengawasan semalaman, tambahnya.

Menurut The Straits Times, SCDF turut menasihatkan orang ramai bahawa mereka tidak seharusnya membeli atau menggunakan bateri bukan tulen untuk peranti mereka.

Dalam kebakaran itu, seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang wanita berusia 32 tahun meninggal dunia di hospital pada 13 Ogos selepas mereka ditemui di dapur oleh anggota bomba yang sedang memadamkan api di flat tingkat empat di Blok 106, Jalan Bukit Merah.

Dua lagi mangsa dari unit berdekatan turut dibawa ke hospital kerana kebakaran itu.

Sekitar 60 penghuni di blok terjejas telah diarah keluar oleh polis dan SCDF.

Anggota Parlimen (AP) Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Radin Mas, Encik Melvin Yong, berkata dalam hantaran di Facebook pada 13 Ogos bahawa pihak majlis bandaran telah memulihkan bekalan elektrik yang terputus di blok itu semasa kebakaran berlaku.

Pemimpin akar umbi juga telah mendapatkan keperluan penting, seperti makanan, air dan peralatan tempat tidur, bagi penduduk yang tidak dapat pulang ke rumah mereka kerana bahang kebakaran dan siasatan berterusan yang dijalankan oleh SCDF dan polis.

Dalam laporan perangkaan tahunan yang dikeluarkannya pada 13 Februari, SCDF berkata kebakaran pada 2024 yang melibatkan peranti pergerakan aktif (AMD) meningkat 21.8 peratus, daripada 55 pada 2023 kepada 67 pada 2024.

Kebanyakan kebakaran melibatkan alat itu berlaku di dalam rumah.

Ini adalah tahun kedua berturut-turut lebih banyak kebakaran AMD dilaporkan.

AMD termasuk PMD, basikal bantuan kuasa dan alat pergerakan peribadi.

Kebakaran yang melibatkan PMD meningkat 38.9 peratus, daripada 18 kes pada 2023 kepada 25 kes pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg