Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

11 insiden kemalangan kapal direkod di perairan timur Johor sejak 2021

Aug 6, 2024 | 3:28 PM
Kapal terbakar di perairan timur Johor antara insiden kemalangan yang direkodkan Jabatan Laut Wilayah Selatan Malaysia.
Kapal terbakar di perairan timur Johor antara insiden kemalangan yang direkodkan Jabatan Laut Wilayah Selatan Malaysia. - Foto AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA

JOHOR BAHRU: Kawasan perairan timur Johor merekodkan sebanyak 11 insiden kemalangan membabitkan kapal perdagangan yang melalui perairan itu sejak 2021.

Jurucakap Jabatan Laut Wilayah Selatan berkata perairan timur Johor adalah sebahagian daripada laluan perdagangan global yang sibuk kerana ia menghubungkan bahagian timur dan barat dengan purata 80,000 kapal melaluinya setiap tahun.

“Di kawasan perairan ini juga terletaknya Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, Pelabuhan Johor di Pasir Gudang dan Pelabuhan Singapura.

“Ini menyebabkan jumlah kapal yang tinggi melalui perairan timur Johor di sini, menjadikannya kawasan berisiko dan terdedah kepada kemalangan.

“Ini menjadikan keadaan lebih rumit buat kapal,” kata jurucakap itu sambil menambah bahawa satu kes kapal terbakar dan dua kes perlanggaran kapal direkodkan pada 2021, lapor The Star.

Beliau berkata pada 2022, hanya dua kes direkodkan, tetapi lima kejadian seumpamanya direkodkan di perairan timur Johor pada 2023.

“Kejadian terbaru berlaku pada 19 Julai lalu apabila dua kapal berlanggar kira-kira 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau dekat Kota Tinggi,” katanya.

Jurucakap itu menambah bahawa kemalangan masih berlaku walaupun semua kapal dilengkapi dengan sistem navigasi terkini seperti sistem pengenalan automatik (AIS).

Kebanyakan insiden berpunca daripada enjin kapal yang rosak atau cuaca buruk, walaupun kesilapan manusia tidak boleh diketepikan.

“Ini kerana kapal mesti tiba di pelabuhan mengikut jadual. Mereka tidak boleh sampai ke pelabuhan destinasi mereka lebih awal atau lewat daripada jadual atau kemalangan seperti perlanggaran kapal boleh berlaku,” jelas jurucakap itu.

Tambahnya, berikutan itu jabatan berkenaan bekerjasama rapat dengan agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk menjadikan perairan Johor lebih selamat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg