Sepasang suami isteri ditemui mati di flat Punggol
Sepasang suami isteri ditemui mati di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Punggol pada pagi 27 Februari.
Polis tiba di Blok 408B, Northshore Drive, sekitar 6.25 pagi setelah dimaklumkan.
Di sana, pegawai menemui seorang lelaki dan seorang wanita terbaring kaku, kata polis.
Mereka disahkan meninggal dunia oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Terdapat kesan darah di lantai flat tersebut.
Lelaki itu berusia 71 tahun manakala wanita itu pula berumur 66 tahun, tambah polis.
Polis telah mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian luar biasa.
Apabila wartawan, The Straits Times, tiba di tempat kejadian pada 12.25 tengah hari, sekurang-kurangnya empat penyiasat polis berada di sekitar unit flat itu.
Sekitar 12.40 tengah hari, dua lagi penyiasat berpakaian preman tiba, membawa kamera, beg kertas coklat dan satu set peralatan.
Encik Mike Liew, yang tinggal tiga unit dari rumah pasangan itu, hanya menyedari kejadian tersebut apabila melihat pegawai polis di koridor.
Pesara eksekutif berusia 73 tahun itu berkata: “Saya terkejut. Saya telah tinggal di sini selama lima tahun dan tidak pernah ada kekecohan. Saya juga tidak mendengar apa-apa yang aneh pagi ini.”
Menyifatkan pasangan itu sebagai mesra, beliau berkata:
“Mereka berpindah masuk sekitar masa yang sama dengan saya, jadi saya selalu berjumpa mereka di lobi lif atau di pusat beli-belah berdekatan. Mereka selalu tersenyum dan menyapa saya.
Menurutnya, si suami telah bersara dan suka menanam pokok di luar rumahnya dan isterinya pernah bekerja sambilan di tempat kerja yang berkaitan dengan Covid-19.
Beliau berkata pasangan itu tidak mempunyai anak.

