Seorang wanita berusia 31 tahun yang mengalami gangguan delusi menjadi takut bapa angkat akan menghalaunya keluar dari flat keluarga di Sengkang selepas ibu angkatnya meninggal dunia akibat barah.
Selepas lelaki itu menolak permintaannya untuk ditambah namanya sebagai pemilik flat, dia membunuhnya dengan pisau, lapor The Straits Times (ST).
Pada 14 Julai, Tan Qiu Yan, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang diringankan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat membunuh bagi kes pembunuhan pada November 2022.
Dia pada asalnya didakwa membunuh, namun laporan psikiatri menunjukkan dia mengalami gangguan delusi yang mengurangkan kewajaran mental atas tindakannya itu.
Tan telah diambil sebagai anak angkat oleh Encik Tan Ah Bang dan Cik Koh Li Hua pada 1992 semasa dia masih bayi.
Selepas Cik Koh disahkan menghidap barah paru-paru pada 2019, dia menjanjikan Tan sebahagian flat itu.
Bagaimanapun, flat itu dimiliki oleh ibu bapa Tan sebagai pemilik bersama, yang bermakna apabila Cik Koh meninggal dunia, bahagiannya secara automatik diserahkan kepada Encik Tan.
Cik Koh meninggal dunia pada 29 Ogos 2022.
Mangsa dan Tan beberapa kali bergaduh kerana flat dan aset lain.
Dalam keadaan marah, Encik Tan, 67 tahun, menyuruhnya keluar, namun beliau kemudian mengalah dan berjanji untuk memindahkan seluruh harta itu kepadanya.
Kerana takut Encik Tan tidak menunaikan janjinya, dia membeli sebilah pisau di sebuah pasar raya.
Antara akhir Oktober dengan awal November 2022, Tan panik selepas dia menyedari bapanya telah menjadi pemilik tunggal flat itu.
Dalam pertengkaran sengit pada 2 November 2022, Encik Tan menyatakan beliau akan menderma flat itu – bukan menyerahkan kepadanya.
Ketika itulah dia memutuskan untuk membunuhnya.
Apabila Encik Tan keluar dari tandas, dia berulang kali menetak lelaki itu, menyasarkan lehernya.
Laporan Institut Kesihatan Mental (IMH) menyatakan bahawa khayalan dan rasa tidak selamat telah mendorongnya melakukan perbuatan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mavis Chionh, berkata hukuman penjara seumur hidup tidak wajar kerana tiada bukti Tan menunjukkan sejarah tingkah laku yang tidak stabil dan ganas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg