Pengurangan karyawan dalam bidang guaman kekal stabil sejak sedekad lalu dan jumlah peguam juga telah berkembang dengan stabil, tetapi ia tidak bermakna tiada masalah, kata Menteri Penyelaras Keselamatan Negara K. Shanmugam pada 26 Julai.

Isu seperti penyeliaan yang lemah, kekurangan latihan, gangguan, buli dan layanan yang tidak munasabah terhadap peguam perlu diambil serius.

Persoalan serius itu ditimbulkan susulan kajian baru-baru ini yang dikerahkan oleh Persatuan Guaman Singapura mengenai sebab peguam meninggalkan kerjaya tersebut, kata Encik Shanmugam di majlis meraikan pelajar undang-undang baru Universiti Nasional Singapura (NUS) di Pusat Budaya Universiti.

Ini termasuk waktu bekerja yang panjang, budaya tempat kerja yang toksik, tekanan, dan layanan yang menghina atau tidak adil terhadap mereka di mahkamah, tambahnya.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata adalah baik Persatuan Guaman telah membentuk pasukan petugas untuk merungkaikan isu tersebut.

Badan kehakiman dan persatuan juga sedang menubuhkan jawatankuasa bersama untuk mengkaji maklum balas dan melihat apa yang boleh dilakukan untuk menangani isu-isu yang dikenalpasti.

“Adalah penting bagi profesion dan mahkamah untuk menangani perkara ini,” tegas beliau.

Encik Shanmugam menambah sesetengah peguam telah beralih ke sektor yang berbeza kerana kemahiran yang diperoleh dalam amalan undang-undang, seperti pemikiran yang jelas dan penulisan yang tepat, memberi manfaat kepada mereka dalam pelbagai bidang.

Di majlis itu, beliau turut menutup rapat kapsul masa yang mengandungi surat yang ditulis oleh pelajar baru kepada masa depan mereka.

Ia akan dibuka semula apabila mereka tamat pengajian.

Seramai 245 pelajar baru telah mengambil ikrar etika di majlis tersebut.

Jurucakap SG Courts berkata terdapat dua aduan tingkah laku formal yang diterima dalam tempoh tiga tahun yang lalu.

Memetik statistik yang dikeluarkan oleh Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, di Parlimen pada Mei, Encik Shanmugam berkata bahawa antara 2015 dengan 2024, kira-kira 60 peratus peguam kekal berkhidmat selepas bekerja selama lima tahun.

Sekitar 40 peratus kekal selepas satu dekad.

Bilangan peguam Singapura yang berkhidmat meningkat 26 peratus dari 2015 hingga 2024.

Pada masa ini terdapat kira-kira 4,800 peguam di Singapura – peningkatan sepertiga sejak 2015.

Encik Shanmugam berkata langkah seterusnya adalah untuk melihat mengapa kira-kira empat daripada 10 peguam meninggalkan kerjaya ini selepas lima tahun.

Beliau mendapati ramai yang meninggalkan bidang tersebut untuk menyertai sektor perbankan pelaburan dan perkhidmatan awam, manakala ada yang memulakan perniagaan mereka sendiri.

Semasa berucap kepada para pelajar baru yang hadir, Encik Shanmugam menyatakan bahawa bidang guaman merupakan satu kerjaya yang sangat mencabar.

Beliau berkata: “Jika anda memilih untuk menceburi bidang guaman dan berhasrat untuk berada di peringkat tertinggi serta di barisan hadapan, maka anda harus bersedia menghadapi tuntutan yang sangat tinggi.”

Beliau berkata gaji yang diterima adalah berkait rapat dengan tuntutan kerjaya tersebut.

Seorang peguam berkelayakan pada tahun pertama di firma tempatan terkemuka boleh memperoleh pendapatan melebihi $100,000 setahun.

Mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang dan dilantik sebagai rakan kongsi muda selepas tempoh enam hingga lapan tahun pula boleh meraih pendapatan antara $200,000 hingga $300,000 setahun.

Dalam sektor awam, perkhidmatan perundangan dan kehakiman turut menawarkan gaji yang kompetitif bagi menarik bakat-bakat terbaik.

“Apabila menerima bayaran sedemikian, jangkaan dan tuntutan kerja juga menjadi tinggi. Tugasan sering kali perlu diselesaikan hampir sepanjang masa.

“Situasi ini lebih hebat tekanannya di London dan New York. Tekanan sebegini memang merupakan sebahagian daripada lumrah kerjaya ini,” kata Encik Shanmugam.