Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura antara negara perintis gubal undang-undang khusus lindungi mangsa bahaya dalam talian
S’pura antara negara perintis gubal undang-undang khusus lindungi mangsa bahaya dalam talian
Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian mula operasi bantu mangsa tangani kandungan bahaya
S’pura antara negara perintis gubal undang-undang khusus lindungi mangsa bahaya dalam talian
Satu agensi baharu khusus bagi membantu mangsa bahaya dalam talian, Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC), mula beroperasi pada 29 Jun, sekali gus menyediakan saluran lebih pantas bagi mangsa mendapatkan perlindungan dan bantuan.
Melalui hantaran di media sosial pada 28 Jun, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata penubuhan OSC seiring dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) (OSRAA), menjadikan Singapura antara negara perintis yang menggubal undang-undang khusus dan menubuhkan sebuah badan khas bagi membantu individu terjejas dengan bahaya dalam talian.
Beliau menegaskan langkah sedemikian penting kerana kandungan bahaya dalam talian bukan sahaja menjejas individu, malah jika dibiarkan berleluasa, boleh menjadi norma masyarakat yang akhirnya menghakis institusi secara lebih meluas.
Penubuhan OSC telah dirancang sejak beberapa tahun lalu. Ia direka bagi menyediakan wadah berkesan untuk mangsa bahaya dalam talian menangani kandungan dalam talian yang menyebabkan mereka diganggu, berasa cemas, tertekan atau dimalukan.
Bagi membolehkan penubuhannya, Parlimen telah meluluskan OSRAA, yang merupakan hasil rundingan meluas dengan lebih 100 rakan industri, ahli akademik, kumpulan masyarakat, pakar serta orang awam.
Undang-undang tersebut memperincikan 13 jenis bahaya dalam talian yang membolehkan mangsa mendapatkan pembelaan.
Ia juga menjelaskan tentang tanggungjawab platform kandungan dan keperluan memberi tindak balas terhadap laporan sah mangsa secara tepat pada masanya.
Di mana platform enggan atau lambat bertindak, OSC akan campur tangan.
Kegagalan mematuhi arahan OSC merupakan satu kesalahan jenayah.
Menurut satu kenyataan media bersama Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), OSC dan Kementerian Undang-Undang (MinLaw), mangsa bahaya dalam talian turut diberi hak tambahan untuk memfailkan tuntutan guaman di mahkamah.
Hak tersebut diperuntukkan menerusi tort berkanun baharu yang pada fasa pertama pelaksanaannya meliputi lima jenis bahaya dalam talian, iaitu gangguan dalam talian, dedah maya atau ‘doxing’ (pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran), penghendapan dalam talian, penyalahgunaan imej intim dan penderaan kanak-kanak berasaskan imej.
Tort berkanun itu menetapkan tanggungjawab ke atas tiga kumpulan pelaku dalam talian, iaitu komunikator (penyampai maklumat) yang merujuk kepada individu yang memuat naik atau menulis kandungan berbahaya; pentadbir yang mengurus kumpulan, laman, forum atau ruang dalam talian; serta platform.
Pentadbir dan platform dikehendaki mengambil langkah munasabah dalam menangani kemudaratan tersebut selepas menerima pemberitahuan sewajarnya melalui Notis Bahaya Dalam Talian, iaitu borang yang boleh diakses mangsa menerusi laman keselamatan dalam talian MinLaw.
Bagi sesetengah platform, mangsa boleh mengisi dan mengemukakan Notis Bahaya Dalam Talian menerusi borang dalam talian yang disediakan di laman web platform berkenaan.
Dalam hantaran media sosialnya, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, turut berkongsi bahawa mangsa kini mempunyai saluran lebih mudah dan langsung untuk mendapatkan bantuan yang pantas dan berkesan dalam menangani bahaya dalam talian, tanpa semestinya perlu mengambil tindakan undang-undang.
“Semua ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sumbangan mangsa yang berani berkongsi pengalaman mereka, serta rakan masyarakat, penyokong dan rakan industri yang bekerjasama dengan kami,” katanya.
Dalam satu lagi catatan media sosial, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, berkata:
“Apabila bahaya berlaku, OSC boleh bertindak pantas untuk membantu menghentikannya, termasuk mengarahkan platform berkenaan menurunkan kandungan yang berbahaya atau menyekat akaun pelaku.”
“Bahaya dalam talian membawa kesan dalam dunia sebenar. Dengan menyediakan saluran yang lebih baik untuk mangsa mendapatkan perlindungan dan menuntut kebertanggungjawaban, kita dapat mewujudkan ruang dalam talian lebih selamat untuk rakyat Singapura.”
