Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dipenjara 21 tahun susulan serangan seksual cucu saudara di rumah, pawagam

Sep 2, 2025 | 3:41 PM
Seorang Lelaki berusia 59 tahun mengaku salah atas satu tuduhan merogol dan dua tuduhan serangan seksual.
Seorang Lelaki berusia 59 tahun mengaku salah atas satu tuduhan merogol dan dua tuduhan serangan seksual. - Foto fail

Seorang lelaki berusia 59 tahun yang mencabul cucu saudaranya yang masih kecil selama empat tahun dijatuhi hukuman penjara 21 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 1 September.

Lelaki itu mengaku dia mula mencabul kehormatan budak perempuan tersebut pada 2019 ketika mangsa berusia tujuh tahun.

Serangan seksual berlaku di rumah, di belakang sebuah van, dan juga di panggung wayang, lapor The Straits Times (ST).

Dia mengaku salah atas satu tuduhan merogol dan dua tuduhan serangan seksual.

Enam tuduhan lain, bagi kesalahan seksual terhadap mangsa, diambil kira dalam pertimbangan menjatuhkan hukuman.

Lelaki tersebut tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Lim Yu Hui memberitahu mahkamah pada 2019, lelaki itu berpindah ke unit rumah gadis itu, yang tinggal bersama ibu bapa, adik lelaki, nenek dan bapa saudara.

Lelaki itu mempunyai bilik sendiri, manakala gadis itu tidur di ruang tamu.

Dari 2019 hingga 2021, dia akan memanggil mangsa ke dalam bilik dan menyentuhnya secara tidak wajar.

Memandangkan usia mangsa yang muda, budak perempuan itu tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian tersebut kerana tidak memahami apa yang dilakukan oleh lelaki itu terhadapnya, kata pihak pendakwa.

Didorong sikap berdiam diri mangsa, perbuatan lelaki itu menjadi semakin melampau.

Dia berpindah pada lewat 2021. Namun, dia masih melakukan perbuatan seksual terhadap mangsa apabila kembali ke unit itu sekali-sekala.

Pada satu ketika, lelaki itu meminta gadis tersebut, yang berusia 10 tahun ketika itu, untuk mendapatkan minuman dari peti ais di dapur.

Dia mengikutinya dan memaksa mangsa melakukan seks oral ke atasnya. Aksi tersebut hanya diberhentikan apabila adik lelaki mangsa masuk ke dapur.

Tiada orang dewasa lain berada di rumah pada masa itu.

Pada Disember 2022, gadis tersebut dan abangnya diajak lelaki itu untuk menonton filem.

Budak itu enggan pergi, tetapi akhirnya bersetuju kerana abangnya ingin menonton filem itu.

Semasa tayangan berlangsung, lelaki tersebut memasukkan tangannya di bawah pakaian gadis itu, lalu mencabulnya.

Mangsa menolak tangan lelaki itu, dan berpindah ke tempat duduk kosong di sebelah abangnya.

Pada 28 Jun 2023, gadis itu memberitahu kaunselor sekolah bahawa dia telah didera secara seksual oleh lelaki berkenaan.

Lantas, satu laporan polis dibuat pada hari yang sama.

Pada hari tersebut, lelaki itu ditangkap dan telah ditahan reman sejak itu.

DPP Lim memohon hukuman penjara antara 23 dengan 25 tahun bagi lelaki itu, serta tambahan satu tahun penjara sebagai ganti kepada 24 sebatan.

Lelaki itu tidak boleh dirotan atas sebab umurnya yang melebihi 50 tahun.

Peguam bela lelaki itu, Encik Bernard Ee, merayu mahkamah agar menggunakan budi bicara kehakiman, dengan menekankan bahawa anak guamnya telah dimasukkan ke hospital sebanyak empat kali akibat kegagalan buah pinggang tahap akhir sejak ditahan.

Budi bicara kehakiman merujuk kepada kuasa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman lebih ringan dalam keadaan luar biasa, seperti apabila hukuman penjara boleh membahayakan nyawa pesalah.

Peguam itu mencadangkan hukuman penjara 16 tahun sekiranya kuasa mahkamah tersebut digunakan, dan 20 tahun jika mahkamah memutuskan sebaliknya.

Namun, DPP Lim berhujah bahawa tiada bukti dikemukakan di mahkamah yang menunjukkan bahawa penggunaan budi bicara kehakiman wajar dilaksanakan.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Mahkamah Tinggi, Hoo Sheau Peng, berkata beliau tidak mengambil kira keadaan kesihatan lelaki itu.

Hakim juga tidak mengenakan tempoh penjara tambahan sebagai ganti sebatan, dengan menyatakan bahawa hukuman penjara 21 tahun adalah memadai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg