Dengan niat ingin menamatkan kehamilan, seorang wanita muda yang belum berkahwin mengambil pil pengguguran yang dibeli dalam talian sehingga beliau melahirkan seorang bayi perempuan di bilik air rumahnya.
Menurut The Straits Times (ST) bayi itu meninggal dunia tidak sampai dua jam kemudian.
Bedah siasat mendapati kandungan wanita itu berusia antara 29 dengan 33 minggu.
Ibu bayi tersebut, yang ketika itu berusia sekitar 23 tahun, kemudian memberitahu pegawai penyiasat dia tidak menjalani pengguguran secara sah kerana prosedur itu mahal dan dia takut ibu bapanya akan mengetahui rahsianya.
Nama semua pihak dalam kes itu telah disunting daripada dokumen mahkamah, yang merujuk si ibu sebagai Miss FQ.
Susulan siasatan pada 11 Julai, Koroner Negara Adam Nakhoda, menyatakan dalam penemuannya, punca kematian bayi itu pada Julai 2024 tidak dapat dipastikan dan mengisytiharkannya sebagai keputusan terbuka.
Menurut laman web Persatuan Perubatan Singapura, keputusan terbuka bermaksud punca kematian tidak dapat dipastikan dengan munasabah berdasarkan bukti yang dihasilkan dalam siasatan.
Koroner berkata kemungkinan pengambilan pil oleh Miss FQ mempunyai kesan pada tubuhnya.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa bahan aktif, jika ada, dalam pil itu tidak dapat dipastikan kerana tiada pil yang berbaki dan Miss FQ telah membuang bungkusannya.
Koroner menambah: “Walaupun terdapat kaitan antara pengambilan pil dengan kematian si bayi, namun tidak dapat dipastikan dengan jelas bahawa pengambilan pil itu mempunyai kesan terhadap penamatan kehamilannya lebih awal.”
Pada pertengahan 2024, Miss FQ bimbang dia mungkin hamil selepas dia melakukan hubungan seks tanpa perlindungan dengan seorang lelaki, yang telah menjalin hubungan dengannya sejak Ogos 2023.
Hasil ujian dengan kit kehamilan didapati negatif.
Miss FQ tidak membuat janji temu dengan sebarang klinik dan sebaliknya membeli lapan biji pil pengguguran berharga RM500 ($150) menerusi wadah media sosial pada Julai 2024.
Selepas mengambil pil tersebut pada pagi 15 Julai 2024, dia mengalami demam apabila bangun sekitar 11 pagi.
Dia rasa sakit di bahagian bawah perutnya pada sebelah petang.
Pada 5.45 petang, dia pergi ke bilik air flatnya dan memanggil ibunya, yang dikenali sebagai Cik R, apabila kesakitan yang dialaminya bertambah teruk.
Miss FQ melahirkan bayi perempuan dan kemudian dijumpai terbaring di atas lantai bilik air.
Bayi itu segera dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia sekitar 7.30 malam pada 15 Julai 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg