Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Koroner buka kes bayi lahir mati ditanam ibu

Dec 23, 2024 | 7:41 PM
Mayat bayi yang ditanam oleh ibunya hanya terbongkar hampir setahun selepas kelahirannya pada April 2022 selepas wanita itu mengaku apa yang dilakukan. 
Mayat bayi yang ditanam oleh ibunya hanya terbongkar hampir setahun selepas kelahirannya pada April 2022 selepas wanita itu mengaku apa yang dilakukan.  - Foto ISTOCKPHOTO

Seorang budak perempuan berusia 15 tahun yang hamil selepas mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya yang berusia 14 tahun, melahirkan seorang bayi lelaki dalam bilik tidurnya, dan kemudian menanam bayi yang lahir tidak bernyawa itu di taman di rumahnya.

Bayi itu dilahirkan pada Jun 2021, namun mayatnya hanya ditemui hampir setahun kemudian pada April 2022 selepas budak perempuan tersebut mengaku apa yang dilakukannya.

Pada 23 Disember, koroner membuka siasatan terhadap kematian bayi itu, dengan pegawai penyiasat kes menyatakan ia adalah kes pertama seumpamanya yang beliau pernah lihat dalam tempoh 33 tahun bersama Pasukan Polis Singapura (SPF).

Inspektor Thanabalan Kothandapani, satu-satunya saksi, memberitahu Koroner Negara Adam Nakhoda bahawa pihak polis dimaklumkan mengenai kes hubungan seks bawah umur yang mengakibatkan kehamilan.

Pada Februari lalu, bapa bayi itu diarahkan menjalani arahan probesen selama 21 bulan kerana melakukan hubungan seks dengan budak perempuan bawah umur dan menghasutnya supaya menanam anak mereka yang dilahirkan dalam keadaan tidak bernyawa.

Budak perempuan itu pula diberi amaran bersyarat atas peranannya dalam kes tersebut.

Mengambil kira usia kededuanya ketika kehamilan itu, Encik Adam mengarahkan identiti mereka dan bayi tersebut tidak disebut.

Inspektor Thanabalan berkata polis dimaklumkan mengenai kes tersebut pada April 2022, apabila ibu dan datuk budak perempuan itu membuat laporan di Divisyen Polis Central.

Mahkamah sebelum ini mendengar bahawa kededua remaja itu rakan sekelas di sekolah menengah dan menjalin hubungan romantik pada Mei 2020.

Budak lelaki itu akan mengadakan hubungan seks dengan temanitanya di bilik tidur tanpa menggunakan kondom disebabkan kesukaran membeli alat itu kerana usianya.

Pada Januari 2021, selepas budak itu sedar dia hamil, dia dan teman lelakinya cuba menggugurkan kandungan tersebut, termasuk menggunakan penyangkut baju, memakan pil pengguguran dan menumbuk serta menendang perutnya secara kasar dengan lutut, lapor The Straits Times.

Pada Jun 2021, budak itu melahirkan anak lelaki yang tidak bernyawa seorang diri di bilik tidurnya, dengan teman lelakinya hadir menerusi panggilan video.

Dia kemudian membungkus mayat bayi itu dengan surat khabar, menyembunyikannya dalam almari sebelum menanamnya di taman di rumahnya.

Pasangan itu mengakhiri hubungan mereka pada Mac 2022.

Sebulan kemudian, ibu gadis itu menyedari anaknya semakin murung, dan ketika itulah rahsianya terbongkar.

Koroner menangguhkan perbicaraan dan akan memberikan keputusan pada satu tarikh kemudian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg