Seorang wanita berusia 68 tahun didakwa menyerang seorang pembantu rumah menggunakan sepasang gunting dan pemotong kuku, sehingga menyebabkan pembantu itu mengalami pelbagai kecederaan.
Lim Lay Choo berdepan tuduhan mendera pembantu rumah pada 13 Ogos.
Menurut dokumen mahkamah, dia dituduh mencubit lengan kanan pembantu itu pada 4 Januari ketika mereka berada di dalam sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Batok.
Lim juga didakwa menggunakan sepasang gunting untuk mencucuk lengan kanan pembantu itu serta menggunakan pemotong kuku untuk ‘ketip’ anggota badan yang sama, lapor The Straits Times (ST).
Lengan kanan pembantu tersebut kemudian didapati mempunyai tujuh kesan calar, satu kesan lelasan dan satu kesan lebam.
Wanita yang didakwa itu dijangka mengaku bersalah pada 24 September.
Pesalah yang disabit kesalahan menyerang pembantu rumah boleh dipenjara sehingga enam tahun, didenda sehingga $10,000 atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg