Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penganggur dijel 40 tahun, 24 sebatan kerana bunuh ibu bapa

Jun 19, 2025 | 12:15 PM
Penganggur, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 44 tahun, dikenakan hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Jun, selepas mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya pada 2023.
Penganggur, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 44 tahun, dikenakan hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Jun, selepas mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya pada 2023. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara maksimum 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragik di Kampung Sungai Penchala, Damansara, Kuala Lumpur, pada 2023.

Hakim K Muniandy pada 18 Jun memerintahkan tertuduh, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 44 tahun, menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh ditangkap pada 9 Disember 2023.

Mengikut tuduhan pertama dan kedua, lelaki itu, yang menganggur, didakwa membunuh bapanya, Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82 tahun, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72 tahun, lapor Harian Metro.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6, Damansara, Kuala Lumpur, masing-masing pada 7.10 petang dan 7.20 petang, 9 Disember 2023.

Pada 9 Disember 2023, media Malaysia melaporkan jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkaikan penemuan pasangan warga emas mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala.

Menurut jiran, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya berusia 40-an kira-kira 7 petang.

Pasangan yang dibunuh itu adalah keluarga yang dikenali ramai penduduk di kawasan itu, sekali gus menimbulkan suasana suram dalam kalangan penduduk.

Sejurus kejadian, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di Kuala Lumpur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg