Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya selepas dia disyaki menikam seorang lelaki berusia 68 tahun yang kemudian meninggal dunia.
Pihak polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan di 5000C Marine Parade Road pada sekitar 12.45 tengah hari pada 13 November, lapor The Straits Times (ST).
Alamat itu adalah kondominium Laguna Park.
Polis berkata seorang lelaki warga emas ditemui cedera di lokasi kejadian. Beliau kemudian dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital dan kemudian disahkan meninggal dunia.
Lelaki berusia 23 tahun itu pula ditahan kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya, kata pihak polis, sambil menambah bahawa dua pisau lipat telah dirampas.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka menerima panggilan bagi mendapatkan bantuan pada kira-kira 1.10 petang, dan telah membawa seseorang ke Hospital Besar Changi (CGH).
Menurut Stomp, apabila wartawan mereka tiba di tempat kejadian pada sekitar 4 petang pada hari sama, tingkat 13 bangunan itu telah dikepung, dengan seorang pegawai polis ditempatkan di tingkat 12 dan seorang lagi di tingkat 14.
Penduduk di tingkat 14 mengatakan mereka tidak mendengar sebarang kekecohan, lapor Stomp. Siasatan polis sedang dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg