Polis mengiringi seorang lelaki yang dituduh membunuh ibunya berusia 79 tahun kembali ke lokasi kejadian di Sengkang pada 4 Julai.
Lim Yuen Li, 44 tahun, tiba di Blok 465, Fernvale Road, pada 9.30 pagi dengan tangan dan kakinya bergari.
Lim didakwa pada 3 Jun atas kesalahan menyebabkan kematian ibunya, Cik Wang How Khiew, lapor The Straits Times (ST).
Semasa prosiding mahkamah, Lim meminta kebenaran untuk menghadiri pengebumian “si mati”, tanpa merujuk mangsa sebagai ibunya.
Difahamkan Lim tidak menghadiri pengebumian tersebut.
Lim didakwa membunuh mangsa di sebuah unit di tingkat 11 antara 2 pagi dengan 10.30 pagi pada 1 Jun.
Pada 4 Julai, Lim kembali ke unit tersebut memakai baju polo merah, seluar pendek hitam dan selipar, dengan polis memasang kepungan di lobi lif tingkat 11.
Lim bercakap dengan pegawai polis di luar flat tersebut sebelum melangkah masuk buat kali pertama sejak kejadian berlaku.
Dua pegawai polis berkawal di sepanjang koridor menuju ke unit itu sementara pakar forensik menjalankan siasatan mereka.
Pada 12.50 tengah hari, Lim keluar dari flat tersebut dan dibawa semula ke dalam van polis.
Seorang pegawai polis turut membawa beg plastik yang mengandungi barangan peribadinya.
Kes Lim merupakan kes kedua pada 2025 melibatkan anggota keluarga yang didakwa atas pembunuhan saudara terdekat.
Pada 13 Mac, Abdul Rani Md Ariffin, 58 tahun, didakwa membunuh adik lelakinya, Abdul Rahman Mohamad Ariffin, 57 tahun, sekitar 4 pagi pada 11 Mac di Blok 187, Boon Lay Avenue.
Sebanyak 10 kes pembunuhan dilaporkan pada 2024 – angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Data daripada Jabatan Perangkaan (DOS) Singapura menunjukkan terdapat empat kes pembunuhan pada 2023, tujuh kes masing-masing pada 2022 dan 2021, serta lapan kes pada 2020.
Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh boleh dijatuhkan hukuman mati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg