Seorang lelaki berusia 76 tahun telah dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas keretanya merempuh dinding pusat mengundi di Sekolah Menengah Anderson pada petang Hari Mengundi, 3 Mei.
Menurut polis, mereka dimaklumkan mengenai kemalangan yang berlaku di tempat turun naik kenderaan sekolah yang terletak di Ang Mo Kio itu, pada 3.25 petang.
Polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah, lapor The Straits Times (ST).
Siasatan awal mendapati bahawa lelaki tersebut sedang mengambil alih urusan memandu daripada anak perempuannya, apabila kereta itu bergerak ke hadapan dan merempuh dinding.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata lelaki itu telah dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).
Tiga individu lain didapati mengalami kecederaan ringan, namun mereka menolak untuk dibawa ke hospital.
Dalam sebuah video yang dimuat naik di kumpulan Facebook SG Road Vigilante (SGVR), seorang lelaki yang memakai pakaian hitam dilihat memasuki tempat duduk pemandu sebuah kereta yang sedang berhenti, apabila kereta itu tiba-tiba memecut sementara separuh badan lelaki itu masih berada di luar kenderaan.
Lelaki itu kini sedang menerima rawatan di hospital.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg