Polis sedang menyiasat 13 remaja yang disyaki terlibat dalam dua kes merosakkan harta milik pemerintah, iaitu kerusi roda di pusat mengundi yang ditetapkan bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Singapura akan mengundi pada 3 Mei, dan kerusi roda disediakan di pusat mengundi untuk warga emas serta golongan berkeperluan khas atau kurang upaya dari segi fizikal.
Dalam satu kenyataan pada 1 Mei, polis berkata insiden pertama berlaku pada 28 April di kawasan lapang berhampiran Blok 51A Sengkang West Avenue yang ditetapkan sebagai pusat mengundi.
Polis dimaklumkan mengenai insiden itu sekitar 10.55 malam, dan apabila tiba di lokasi, anggota polis mendapati tiga kerusi roda milik Jabatan Pilihan Raya (ELD) telah dirosakkan.
Lima individu disyaki terlibat dalam insiden itu, dan siasatan awal mendapati mereka telah menggunakan kerusi roda tersebut untuk berlumba sesama sendiri.
Salah seorang daripada mereka juga didakwa telah melempar sebuah kerusi roda ke udara, lapor The Straits Times (ST).
Kes kedua berlaku pada 1 Mei di sebuah gelanggang bola keranjang berbumbung di Blok 176B Boon Lay Drive, yang telah dikepung untuk dijadikan pusat mengundi.
Menurut polis, sebuah kerusi roda milik ELD telah rosak, dan lapan individu yang disyaki terlibat dalam insiden tersebut telah dikenal pasti.
Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan vandalisme boleh didenda sehingga $2,000, dipenjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Pesalah juga boleh dikenakan antara tiga dengan lapan kali sebatan.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg