Topik diikuti
Pergi ke BHkuWaspada terhadap penipu yang menyamar sebagai pegawai ICA, LTA
Waspada terhadap penipu yang menyamar sebagai pegawai ICA, LTA
Orang ramai dinasihati agar waspada terhadap taktik penipuan untuk tuntut bayaran
Waspada terhadap penipu yang menyamar sebagai pegawai ICA, LTA
Orang ramai dinasihati agar berwaspada terhadap penipu yang menyamar sebagai pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), atau sebagai rakan dan keluarga yang terdesak memerlukan wang.
Sejak Januari lalu, ICA telah menerima laporan mengenai dua taktik penipuan utama ini.
Dalam taktik pertama, penipu menyamar sebagai pegawai ICA melalui panggilan telefon atau video.
Untuk kelihatan sahih, mereka sering menggunakan lambang rasmi ICA sebagai gambar profil atau memakai pakaian yang menyerupai seragam agensi tersebut semasa panggilan video.
“ICA ingin menegaskan bahawa panggilan seumpama itu bukan datang daripada pihak kami,” jelas kenyataan agensi tersebut pada 10 Jun.
Dalam taktik kedua, penipu berpura-pura menjadi ahli keluarga atau rakan, lalu mendakwa individu tersebut telah ditahan oleh ICA.
Bagi meyakinkan mangsa, mereka sering mengemukakan dokumen palsu yang lengkap dengan lambang ICA atau tandatangan palsu yang kononnya daripada pegawai agensi itu.
Pegawai ICA tidak akan sekali-kali meminta butiran log masuk perbankan, atau meminta seseorang memasang aplikasi, tambah kenyataan itu.
Pegawai ICA juga tidak akan meminta denda atau bayaran dibuat melalui pemindahan bank, atau menuntut bayaran bagi membebaskan orang yang kononnya ditahan oleh pihak berkuasa itu.
Pegawai yang membuat panggilan daripada ICA juga tidak akan memindahkan panggilan anda kepada pihak polis, tambah kenyataan itu.
Justeru, jangan sesekali memindahkan wang kepada pihak yang identitinya tidak dapat dipastikan.
Sejak 2019, kegiatan penipuan di Singapura telah menyebabkan mangsa kerugian lebih daripada $4 bilion.
Pada 2025, terdapat 37,308 kes, dengan kerugian mencecah $913.1 juta.
Bilangan kes penipuan penyamaran pegawai pemerintah telah meningkat lebih seganda daripada 1,504 pada 2024, kepada 3,363 pada 2025. Ia merupakan jenis penipuan kelima paling biasa pada 2025.
Jika anda menerima panggilan yang mencurigakan, segera sahkan kesahihannya melalui borang maklum balas rasmi di https://www.ica.gov.sg/feedbackform atau hubungi ejen ICA di talian 6391-6100.
Bagi mereka yang mengesyaki diri menjadi mangsa, ICA menegaskan agar laporan polis dibuat dengan segera.
Selain itu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) turut mengeluarkan amaran mengenai e-mel palsu yang mendakwa penerima mempunyai denda tertunggak atau caj Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP).
Dalam hantaran Facebook pada 27 Mei, pihak LTA memaklumkan bahawa e-mel tersebut sering mendesak mangsa supaya segera membuat pembayaran melalui PayNow atau log masuk menggunakan akaun Singpass.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut atau bantuan mengenai penipuan, orang ramai boleh menghubungi Talian Bantuan ScamShield di 1799 atau melayari scamshield.gov.sg.
