Topik diikuti
Pergi ke BHkuLTA beri amaran penipuan e-mel tuntut bayaran denda, caj ERP
LTA beri amaran penipuan e-mel tuntut bayaran denda, caj ERP
LTA beri amaran penipuan e-mel tuntut bayaran denda, caj ERP
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah memberi amaran kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap e-mel yang menyamar sebagai pihak berkuasa yang mendakwa penerima mempunyai denda yang belum dibayar dan caj Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP).
Dalam catatan Facebook pada 27 Mei, pengawal selia pengangkutan itu menyatakan e-mel sedemikian sering menuntut tindakan segera daripada penerima, yang memerlukan mereka membuat pembayaran melalui PayNow dan log masuk dengan akaun Singpass mereka.
Mesej tersebut direka untuk mencuri butiran peribadi pengguna, kata LTA dalam catatan tersebut, lapor The Straits Times.
Ia juga menasihatkan pemandu supaya merujuk saluran rasmi dan menyemak denda tertunggak melalui laman web OneMotoring.
Mereka yang telah menerima e-mel sedemikian diingatkan supaya tidak membuat pembayaran atau tekan klik pada sebarang pautan yang tidak diketahui.
Nasihat rasmi itu dikeluarkan susulan catatan Reddit pada 26 Mei yang menyaksikan seorang pengguna berkongsi tangkap layar e-mel yang menyamar sebagai LTA.
E-mel tersebut memaklumkan penerima tentang yuran ERP yang tertunggak, dan menggesa individu tersebut agar tekan klik pada pautan yang tertera kata-kata “semua yang anda perlukan untuk menyelesaikan isu ini”.
Penipuan di Singapura telah menyebabkan mangsa kerugian lebih $4 bilion sejak 2019. Pada 2025, terdapat sejumlah 37,308 kes dengan kerugian mencecah $913.1 juta.
Bilangan kes penipuan penyamaran pegawai pemerintah meningkat lebih seganda daripada 1,504 kes pada 2024 kepada 3,363 pada 2025. Ia merupakan jenis penipuan kelima paling biasa dilakukan pada 2025.
