Diploma dalam genggamannya adalah dalam bidang penerbangan.
Justeru, mungkin sebahagian kenalannya berasa hairan apabila beliau mula berlatih untuk berkhidmat dengan Angkatan Laut Republik Singapura (RSN).
Namun dunia maritim mungkin lebih sebati dengan jiwa Leftenan Muda (2LT) Mohamad Wira Kuriniawan Mohamad Fahmy, 22 tahun, seorang Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF).
Menurut beliau, ayahnya bertugas sebagai harbour pilot atau malim pelabuhan dan kakaknya pegawai ketiga di kapal komersial.
2LT Wira, yang memiliki Diploma Pengurusan Penerbangan dari Politeknik Republic (RP), berkata sokongan dua orang tersayang inilah yang menjadi tunjang kekuatan dalam melengkapkan Kursus Pegawai Kadet (OCC) selama 38 minggu.
“Kata-kata semangat daripada keluarga amat dihargai dan bermakna bagi saya,” kata anak kedua dalam keluarga empat beradik itu.
“Mereka sering terapkan nilai-nilai seperti ketabahan, keikhlasan dalam berkhidmat dan sifat bertanggungjawab.
“Itu semua yang saya pegang sepanjang latihan dan yang membantu saya terus maju walaupun berdepan dengan cabaran,” tambahnya.
Pada 13 Disember, 2LT Wira merupakan antara 405 Kadet Pegawai Pelatih (OCT) dari RSN, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), yang menyertai perbarisan khas di Institut Ketenteraan Safti yang diadakan untuk meraikan pencapaian melengkapkan OCC.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, hadir selaku Pegawai Pemeriksa semasa majlis itu.
Menurut 2LT Wira, pengalaman menjalani latihan OCC membentuk jati dirinya dari segi ketahanan mental, disiplin dan kebolehan untuk memimpin di bawah tekanan.
Malah, beliau berpegang teguh kepada prinsip yang dikongsi oleh bapa saudaranya, seorang bekas askar tetap SAF dalam unit infantri, yang menekankan peri penting memimpin melalui kerjasama kukuh bersama anggota pasukan lain.
“Kepimpinan yang berkesan bermula dengan hubungan yang kukuh. Tanpa kepercayaan dan kerjasama mereka, seseorang pegawai tidak akan dapat melaksanakan misinya dengan baik,” jelas beliau lagi.
Peri penting nasihat itu semakin dirasai ketika beliau menyertai Latihan Laut bagi Pegawai Kadet Kanan atau Midshipman Sea Training selama sebulan pada Julai.
“Latihan di laut itu benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal saya.
“Dalam tempoh itu, saya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling yang baru sambil mengambil kira kebajikan rakan sepasukan saya dan memastikan disiplin sentiasa terjaga.
“Ia mengajar saya tanpa pertubuhan yang baik dan semangat berpasukan, mustahil untuk menyelesaikan tugasan di atas kapal,” ujar beliau.
Tambahnya, pengalaman itu turut membuka matanya kepada peranan RSN dalam konteks diplomasi dan kerjasama antarabangsa.
Ini disebabkan sepanjang pelayaran tersebut, 2LT Wira berpeluang berinteraksi dengan kadet tentera dari Malaysia dan Vietnam.
Ini sekali gus mencerminkan kepentingan hubungan pertahanan antara negara bagi beliau.
“Bertemu kadet dari negara lain memberikan perspektif baru, di mana ia menunjukkan sebagai pegawai tentera laut, kita bukan hanya melaksanakan operasi, tetapi juga membina kepercayaan dan hubungan baik dengan rakan sejawatan di rantau ini,” tambahnya.
Dengan pentauliahannya baru-baru ini, 2LT Wira kini bersedia memulakan tugas sebagai komander platun, di mana beliau akan mengetuai operasi pemeriksaan kapal dan memastikan pematuhan keselamatan maritim di perairan Singapura.
Menjelang 2026, beliau berhasrat meneruskan semangat perjuangan gigih yang dipupuk keluarganya, khususnya dalam membangun gaya kepimpinan, yang berasaskan kepercayaan dan saling menghormati.
“Bagi saya, kejayaan sebuah pasukan bukan diukur daripada pencapaian individu, tetapi kesatuan dan semangat bekerjasama. Itu nilai yang saya mahu bawa bersama dalam perkhidmatan saya,” katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg