Jerebu pada tahun ini (2026) tidak menjejas bekalan makanan di Singapura, namun pemerintah telah menerima maklum balas daripada pemborong bahawa jerebu yang berpanjangan mungkin memberi kesan kepada penumbuhan sayur-sayuran, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Namun begitu, jerebu telah memberi kesan terhadap jumlah pengunjung di pusat penjaja dan pasar, dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang menilai keadaan di pusat-pusat yang diuruskan oleh agensi tersebut atau oleh pengendali yang dilantik mereka, tambah beliau.

Menyentuh tentang bekalan makanan, Cik Fu berkata maklum balas yang diterima daripada ladang tempatan adalah kesan keseluruhan secara umumnya adalah minimum, dengan operasi kembali seperti biasa susulan mutu udara yang bertambah baik baru-baru ini.

“Agensi Makanan Singapura (SFA) akan terus memantau kesan ke atas bekalan makanan dan melaksanakan langkah untuk menangani keprihatinan mengikut keperluan,” kata beliau.

Singapura mengimport makanan daripada lebih 180 negara dan rantau.

Cik Fu berkata usaha mendapatkan sumber bekalan makanan secara meluas membantu mengurangkan risiko konsentrasi dan membolehkan industri menukar kepada sumber alternatif apabila perlu.

Mengenai jumlah pengunjung di pusat penjaja dan pasar pula, Cik Fu berkata tahap kesan jerebu berbeza-beza mengikut lokasi, walaupun pusat penjaja secara amnya mengalami penurunan jumlah pengunjung.

Pada masa yang sama, penurunan jumlah pengunjung sering kali diimbangi oleh peningkatan dalam pesanan makanan yang dibungkus.

Penjaja telah menerima sokongan untuk membantu menangani tekanan kos semasa.

Ini termasuk sokongan pemerintah yang diumumkan sebelum ini kepada pegerai yang layak bagi tempoh enam bulan, dari September 2026 hingga Februari 2027, untuk mengurangkan kesan kenaikan kos akibat situasi di Timur Tengah.

Semua pegerai yang layak menerima $200 sebulan bagi gerai makanan dimasak dan $100 sebulan bagi gerai papak pasar (market slab) atau gerai berkunci, yang boleh digunakan untuk mengimbangi sewa bulanan mereka.

“Kami akan terus memantau kesannya terhadap penjaja seiring dengan perkembangan keadaan semasa,” kata Cik Fu.