Pernahkah anda dengar tentang trend media sosial ‘Minum kopi bersama diri muda anda’?
Andai saya dapat bertemu dengan diri saya yang berusia 18 tahun, yang baru kecundang dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’, tentu dia tidak menyangka melihat saya di sini malam ini.
Sepuluh tahun lalu, tiada universiti yang sudi menerima saya.
Saya masih ingat melihat rakan-rakan berjaya ke peringkat seterusnya sementara saya kecundang, terasa seolah-olah telah mengecewakan arwah ibu saya.
Saya ditolak berturut-turut hingga akhirnya saya mengambil bukan satu, bukan dua, tetapi tiga tahun berehat.
Pada waktu itu, saya berasa sangat sunyi dan penuh keraguan.
Namun akhirnya, masa itulah yang membentuk diri saya hari ini, kerana saya menemui semula minat saya terhadap penulisan kreatif dalam bahasa Melayu.
Saya mula belajar tentang puisi dan berkongsi cinta saya terhadap kata-kata dengan anak muda lain.
Dari usaha memahami kegagalan, lahirlah perjalanan membina masyarakat yang menulis untuk mengingatkan kita tentang jati diri dan sejauh mana kita mampu melangkah.
Apabila saya akhirnya diterima masuk ke universiti dalam bidang sains kemasyarakatan, saya belajar bahawa liku-liku yang saya lalui dahulu bukan kerana saya malas atau kurang berbakat.
Saya mula sedar kepayahan saya berpunca daripada hakikat kehidupan yang tidak ramai rakan saya alami.
Saya pernah hidup dalam serba kekurangan, risau tentang duit belanja, kekurangan makanan berzat dan rumah yang tegang dengan pertengkaran serta gangguan elektrik yang menyukarkan saya untuk berehat atau belajar.
Ketika saya menyangka hidup akhirnya mula berubah, saya menghadapi ujian sekali lagi.
Pada tahun akhir pengajian universiti, arwah ibu saya disahkan menghidap ketumbuhan otak.
Antara menghadiri kuliah dengan menulis esei, saya berulang-alik antara hospital dengan universiti untuk menguruskan segalanya.
Saya menulis tugasan di dalam bas dan di luar wad sambil berbisik kepada diri sendiri, “Saya tidak boleh mengalah, tidak setelah saya melangkah sejauh ini”.
Dalam saat-saat itu, saya kembali kepada puisi.
Menulis menjadi tempat perlindungan saya, cara untuk saya memahami kedukaan dan ketidaktentuan.
Dua tahun lalu, arwah ibu akhirnya pergi menemui Ilahi.
Beliau amat mencintai bahasa dan budaya Melayu, dan saya mahu semangatnya terus hidup.
Kerana itulah saya menubuhkan Meja Conteng, sebuah kolektif untuk penulis muda Melayu, bagi menghargai peninggalan beliau.
Meja Conteng berhasrat menyinari isu-isu kemasyarakatan dan hal ehwal dunia melalui karya kreatif.
Malam ini, dengan penuh penghormatan di hadapan para pemimpin dan pembawa perubahan, saya ingin berkongsi puisi Aksara yang lahir daripada aspirasi saya untuk keamanan dunia.
Aksara
Andainya pena
Sebilah pedang
Menembus kertas seluas padang
Merobek kalbu penuh berbisa
Membuih kata minda terpenjara
Andainya pena
Sebilah parang
Membelah kisah tanpa temberang
Pahlawan pujangga bertarung kata
Aksara rasmi buang sengketa
Andainya pena
Sebilah keris
Gaman pusaka kejam terhiris
Inti sejarah makin berdebu
Curahkan dakwat usah membisu
Dakwat merah tertewas kata
Biarlah luka diganti tinta
Adalah satu penghormatan besar untuk menerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2025.
Saya ingin menujukannya kepada arwah ibu saya, Noor Hasnah Adam, yang saya tahu pasti akan berbangga dengan saya hari ini.
Kepada suami saya, Amir, yang sentiasa menyerlahkan yang terbaik dalam diri saya, dan buat keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa menyokong, terima kasih atas kasih sayang, doa dan keyakinan kalian.
Terima kasih kepada Berita Harian kerana terus mengangkat suara anak bangsa dan meraikan perjalanan yang sering bermula dengan ketidaktentuan dan kesusahan.
Akhir sekali, saya ingin berpesan kepada diri saya yang muda dahulu setiap jalan berliku akhirnya membawa kita ke tempat yang bererti.
Terima kasih.
“
Pada tahun akhir pengajian universiti, arwah ibu saya disahkan menghidap ketumbuhan otak. Antara menghadiri kuliah dengan menulis esei, saya berulang-alik antara hospital dengan universiti untuk menguruskan segalanya... Dalam saat-saat itu, saya kembali kepada puisi... Dua tahun lalu, arwah ibu akhirnya pergi menemui Ilahi. Beliau amat mencintai bahasa dan budaya Melayu, dan saya mahu semangatnya terus hidup.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg