Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kecemerlangan penerima anugerah Jauhari cerminan pencapaian masyarakat Melayu/Islam

Daya bingkas, semangat bakti jadikan penerima Anugerah Jauhari 2025 suri teladan, kata pemimpin masyarakat
Nov 8, 2025 | 5:00 PM
Berita Harian, Anugerah Jauhari
Penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2025, Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan, dan penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2025, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Kecemerlangan penerima Anugerah Jauhari 2025 dalam bidang masing-masing merupakan cerminan pencapaian masyarakat Melayu/Islam yang membanggakan, kata pemimpin masyarakat.

Malah, daya bingkas serta semangat kental mereka dalam berbakti kepada negara dan masyarakat wajar menjadikan mereka suri teladan.

Demikian pandangan beberapa individu mengenai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2025, Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan, dan penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2025, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria.

Ditemui Berita Minggu (BM) pada majlis penyampaian anugerah tersebut di Hotel Four Seasons Singapore pada 7 November, pendidik dan aktivis budaya, Cik Asnida Daud, berkata kededua penerima anugerah itu menunjukkan daya bingkas yang sangat tinggi.

“Saya anggap ia satu inspirasi yang sangat menyemarakkan dan saya rasa begitu bangga.

“Dan mereka juga insan-insan yang menyumbang kembali kepada masyarakat dan ini juga menjadi peran contoh kepada anak-anak muda kita dan sesiapa saja di luar sana,” ujarnya.

Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, menyampaikan Anugerah Jauhari Berita Harian 2025 kepada Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan di Four Seasons Hotel Singapore pada 7 November.
Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, menyampaikan Anugerah Jauhari Berita Harian 2025 kepada Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan di Four Seasons Hotel Singapore pada 7 November. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

BG Fairoz, 46 tahun, merupakan Panglima Divisyen Kesembilan (9 Div) dan Ketua Pegawai Infantri Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Beliau diiktiraf bagi kecemerlangan beliau sepanjang hampir tiga dekad dalam SAF dan menjadi pegawai Melayu/Islam kedua menyandang pangkat BG sejak persaraan BG Ishak Ismail pada 2011.

Penerima Anugerah Jauhari Harapan, Cik Nur Aisyah, 28 tahun, pula merupakan pengasas bersama kolektif sastera belia Singapura, Meja Conteng, dan penasihat kelab peminat puisi remaja, Rumah Rima.

Anugerah tersebut bertujuan mengiktiraf individu berusia 30 tahun dan ke bawah, yang mempunyai semangat kental dalam mencapai kejayaan dan memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata beliau tersentuh hati dengan cara Cik Nur Aisyah menggunakan pena sebagai satu senjata untuk mengharungi cabaran.

“Anugerah Jauhari telah memaparkan betapa pentingnya ciri-ciri kita sebagai seorang berbangsa Melayu Singapura untuk bekerja keras dan mengharungi pelbagai cabaran, seperti pengasas Meja Conteng yang juga banyak berganding bahu dengan kami dalam Bulan Bahasa,” ujar Encik Zhulkarnain, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa.

Di samping itu, Pengasas dan Pengarah Artistik Sri Warisan, Cik Som Said, berkata BG Fairoz Hassan ialah seorang individu yang menunjukkan semangat kekitaan, kerendahan hati dan rasa hormat kepada ibu bapa.

“Kalau kita bercakap tentang masyarakat Melayu/Islam, kita sering kaitkan dengan akhlak, dengan persoalan tentang apa yang menjadikan seseorang itu Muslim yang baik, Melayu yang baik.

“Penerima Anugerah Jauhari memang memiliki ciri-ciri itu,” kata Cik Som, yang telah memenangi anugerah sama pada 2009.

Mengulas lebih lanjut, Cik Som berkata kededua pemenang mencerminkan nilai budaya masyarakat Melayu/Islam, melalui tutur kata, tingkah laku dan peradaban mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, pula berkata BG Fairoz merupakan anggota tentera yang sangat kuat dan berdisiplin, namun pada masa yang sama, beliau juga mampu belajar daripada orang lain.

“Beliau seorang yang tegas, namun sentiasa terbuka dalam menilai anggota pasukan di bawahnya.

“Sebagai satu masyarakat, kita juga boleh mengambil iktibar daripada sikap ini, memperkukuh diri sendiri sambil meraikan nilai-nilai kepimpinan yang ada dalam diri kita semua,” ujar Encik Firdaus.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif AMP Singapore, Encik Mokhsin Rashid, menyatakan pencapaian kededua pemenang membuktikan bahawa masyarakat Melayu/Islam Singapura mempunyai keupayaan untuk berjaya.

“Mereka mampu memberi inspirasi kepada generasi muda hari ini untuk terus mengejar impian dan matlamat kerjaya mereka.

“Pada masa yang sama, mereka juga menonjolkan nilai memberi semula kepada komuniti, sesuatu yang sangat penting dalam membina masyarakat yang kuat dan saling menyokong,” kata Encik Mokhsin.

Majlis Anugerah Jauhari 2025 ditaja OCBC selaku penaja utama, dengan penaja lain terdiri daripada MES Group, Persatuan Bank Singapura (ABS), Call Lade Enterprises dan NETS.

Saya rasa kededua penerima anugerah dalam majlis ini menunjukkan daya bingkas yang sangat tinggi. Saya anggap ia satu inspirasi yang sangat menyemarakkan dan saya rasa begitu bangga.
Pendidik dan aktivis budaya, Cik Asnida Daud.
Pendidik dan aktivis budaya, Cik Asnida Daud.
Pendidik dan aktivis budaya, Cik Asnida Daud. - Foto BM oleh MUHAMMAD HIDAYAT RAFII

Anugerah Jauhari telah memaparkan betapa pentingnya ciri-ciri kita sebagai seorang berbangsa Melayu Singapura untuk bekerja keras dan mengharungi pelbagai cabaran, seperti pengasas Meja Conteng yang juga banyak berganding bahu dengan kami dalam Bulan Bahasa.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan) bersama BG Fairoz.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan) bersama BG Fairoz. - Foto SPH Media

Kalau kita bercakap tentang masyarakat Melayu/Islam, kita sering kaitkan dengan akhlak, dengan persoalan tentang apa yang menjadikan seseorang itu Muslim yang baik, Melayu yang baik. Penerima Anugerah Jauhari memang memiliki ciri-ciri itu.
Pengasas dan Pengarah Artistik Sri Warisan, Cik Som Said.
Dua pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian, Encik Shahrin Abdol Salam (2023), dan Cik Som Said (2009).
Dua pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian, Encik Shahrin Abdol Salam (2023), dan Cik Som Said (2009). - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Beliau seorang yang tegas, namun sentiasa terbuka dalam menilai pasukan-pasukan di bawahnya. Sebagai satu masyarakat, kita juga boleh mengambil iktibar daripada sikap ini, memperkukuh diri sendiri sambil meraikan nilai-nilai kepimpinan yang ada dalam diri kita semua.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz - Foto fail

Mereka mampu memberi inspirasi kepada generasi muda hari ini untuk terus mengejar impian dan matlamat kerjaya mereka. Pada masa yang sama, mereka juga menonjolkan nilai memberi semula kepada komuniti, sesuatu yang sangat penting dalam membina masyarakat yang kuat dan saling menyokong.
Pengarah Eksekutif AMP Singapore, Encik Mokhsin Rashid.
Pengarah Eksekutif AMP Singapore, Encik Mokhsin Rashid.
Pengarah Eksekutif AMP Singapore, Encik Mokhsin Rashid. - Foto fail
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg