Jet pejuang F-16C, helikopter Apache RSAF akan buat aksi bersepadu dalam Pertunjukan Udara Singapura 2026
Jet pejuang F-16C, helikopter Apache RSAF akan buat aksi bersepadu dalam Pertunjukan Udara Singapura 2026
Jumlah aksi pesawat bersepadu terbesar antara persembahan dalam acara dwitahunan 3 - 8 Feb
Jet pejuang F-16C dan helikopter penyerang AH-64D Apache daripada Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) bakal memukau hadirin dengan enam olah gerak jarak dekat yang menakjubkan di Pertunjukan Udara Singapura 2026.
Ini adalah jumlah aksi bersepadu terbesar yang pernah dipersembahkan oleh kedua-dua jenis pesawat itu dalam acara dwitahunan ini, yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 8 Februari di Pusat Pameran Changi.
Bercakap dalam pratonton media pada 31 Januari, Pengerusi jawatankuasa pertunjukan terbang RSAF, Kolonel (COL) Max Ng Han Lin, berkata RSAF membawa kelainan baru pada edisi 2026.
Beliau menambah: “Sebelum ini, kami hanya melakukan sekitar tiga aksi bersepadu. Kali ini, akan ada lebih banyak gerakan silang, banyak ‘jabat tangan’ antara pesawat di udara, sambil kami cuba untuk membawakan anda yang terbaik daripada aksi yang terbaik, termasuk beberapa gerakan yang dipenuhi kesan asap dan suar.”
Pertunjukan udara RSAF 2026 akan menampilkan 17 aksi, termasuk tiga yang diperkenalkan buat pertama kali.
Ia akan berlangsung pada 11 pagi pada 7 Februari dan 4 petang pada 8 Februari, iaitu pada dua hari terbuka Pertunjukan Udara tersebut.
Aksi yang membuat penampilan sulung termasuk “split fangs”, yang menurut COL Ng, 46 tahun, adalah amat sukar untuk dilakukan dan diselaraskan.
Ia memerlukan pesawat pejuang dan helikopter terbang sangat dekat dengan tanah dan begitu rapat antara satu sama lain sehingga juruterbang boleh melihat tag nama masing-masing pada topi keledar mereka.
Juruterbang F-16C, Mejar Tan Wei Yang, 34 tahun, berkata cabaran aksi itu terletak pada penerbangan altitud rendah dan kelajuan perlahan, iaitu keadaan yang tidak biasa bagi juruterbang pesawat pejuang dan menuntut penyesuaian.
Mengenai persembahan bersepadu, Mejar Tan berkongsi bahawa pada beberapa latihan awal, terdapat keraguan apabila kedua-dua jenis pesawat digabungkan, kerana perbezaan ketara antara kedua-duanya.
“Namun, lama-kelamaan, kami dapat membina kepercayaan dalam pasukan dan, akhirnya, memiliki keyakinan yang mencukupi untuk terbang bersama dengan jarak yang dekat tetapi selamat,” tambahnya.
Menyampaikan ulasan penerbangan kepada penonton ialah Cik Lachme Arceno Thanesh, 33 tahun.
Pakar operasi dan sistem udara ini, yang pernah menjadi juruacara bagi RSAF, akan membuat ulasan buat kali pertama dalam acara tersebut. Beliau telah berlatih sejak Oktober 2025.
Pakar Tentera 1 Lachme berkata: “Daripada semua latihan, saya telah belajar tentang kepentingan masa, kejelasan penyampaian, serta penekanan pada setiap aksi yang dilakukan agar penonton dapat memahami dan menghayati pertunjukan itu.”
Ini adalah edisi ke-10 Pertunjukan Udara Singapura, dan RSAF telah menyertainya setiap kali.
Antara lebih 400 kru udara RSAF yang terlibat ialah Sarjan Ketiga (3SG) Ho Chee Kian, 21 tahun, seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa yang juga seorang juruteknik udara untuk pesawat AH-64D.
Dalam pertunjukan udara itu, 3SG Ho, yang memiliki diploma dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik, akan terlibat dalam penyelenggaraan helikopter, serta tugas pengawalan.
Sejak menyertai Perkhidmatan Negara pada Julai 2024, beliau telah mengumpul pengalaman berharga, termasuk melalui Latihan Wallaby di Australia.
“Saya sangat berterima kasih kerana mendapat begitu banyak peluang dan ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan,” katanya.
Di darat, pengunjung berpeluang menyaksikan 10 jenis aset RSAF yang dipamerkan secara statik.
Antara aset dipamerkan ialah pesawat udara tanpa pemandu (UAV) Hermes 900 yang menggantikan UAV Hermes 450 mulai November 2025, dan UAV Orbiter 4.
Turut dipamerkan, helikopter H225M dan CH-47F yang beroperasi sepenuhnya sejak April 2024.
Leftenan Kolonel Kanan Yeong Kah Wai, 45 tahun, Pengerusi subjawatankuasa RSAF, menyatakan harapan RSAF agar pameran ini membuka mata masyarakat tentang usaha di sebalik tabir demi menjaga kedaulatan ruang udara negara.

