Tahukah anda bahawa jumlah keseluruhan sisa makanan yang dihasilkan di Singapura pada 2022 ialah 813,000 tan?
Tetapi, hanya 18 peratus daripada jumlah tersebut telah dikitar semula, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Walau bagaimanapun, keadaan ini boleh berubah dengan memulakan tabiat kemampanan yang betul dalam kehidupan seharian, sekaligus menjimatkan poket anda!
Sisa makanan dan pembungkusan merupakan aliran sisa pepejal utama yang paling banyak dihasilkan di Singapura.
Isu peningkatan pembuangan sisa makanan dan bahan pakai buang boleh mengundang kepada ancaman alam sekitar dan menyebabkan kesan perubahan iklim seperti pemanasan global, ketidakseimbangan ekosistem dan sebagainya.
UnPackt, antara rakan kongsi yang menyertai kempen Say YES to Waste Less (SYTWL) bersama NEA, turut menggalakkan pelanggannya menggunakan bekas sendiri bagi mengurangkan peningkatan bahan pakai buang.
Menurut pengasas bersama UnPackt, Cik Florence Tay, kedai runcit sifar sisa itu mempromosikan gaya hidup mampan kepada masyarakat di Singapura dengan menawarkan pembelian tanpa pembungkusan.
Bagi menggalakkan budaya membawa bekas sendiri, UnPackt menawarkan 10 peratus diskaun daripada menu kafe mereka untuk pengguna yang ingin membungkus makanan dengan membawa bekas sendiri dari tarikh 14 Mei hingga 24 Jun 2024, sempena kempen SYTWL.
Tambah Cik Florence: “UnPackt mengesyorkan orang ramai membawa bekas sendiri atau bahan boleh guna semula apabila datang ke kedai kami. Beli apa yang diperlukan sahaja supaya anda bebas daripada pembaziran pembungkusan atau makanan.
“Sekiranya anda seorang yang kerap membungkus makanan, maka penggunaan bekas makanan sendiri adalah lebih menjimatkan kerana anda tidak perlu membayar lebih untuk harga bekas makanan di mana-mana kedai.
“Malah, langkah ini sangat berguna dalam mengatasi masalah penggunaan bahan pakai buang yang menyebabkan pertambahan sampah, khususnya di pusat pembuangan sampah.”
Sebagai langkah menyelamatkan alam sekitar, UnPackt turut menggunakan bekas pembungkusan yang sama untuk perkhidmatan penghantaran barangan online.
“Jika pelanggan memerlukan perkhidmatan penghantaran untuk pesanan online, kami akan menghantar menggunakan bekas yang boleh diguna semula. Kemudian, bekas tersebut akan dibersihkan dan digunakan kembali untuk pelanggan seterusnya. Ia sekaligus dapat mengurangkan penggunaan pembungkusan pakai buang,” kata Cik Florence.
Selari dengan kempen SYTWL, MoNo Foods turut menjemput orang ramai mengunjungi perusahaannya di bangunan Yuehwa (Chinatown) bagi mempelajari cara mengelakkan pembaziran makanan melalui konsep ‘Baik Sebelum’.
“Kebiasaannya, kebanyakan pasaraya atau kedai runcit akan membuang makanan yang sudah melepasi tarikh ‘Baik Sebelum’ sehingga menyebabkan pembaziran. Tetapi, sebenarnya, ia masih selamat dimakan. Gunakan teknik ‘Lihat-Bau-Rasa’ untuk memeriksa makanan yang sudah melepasi tarikh ‘Baik Sebelum’,” kata pengasas bersama MoNo Foods, Encik Leonard Shee.
Bagi mengelakkan pembaziran makanan, MoNo Foods turut membawa masuk stok-stok makanan yang sudah menghampiri tarikh ‘Baik Sebelum’ dan menjualnya dengan harga diskaun kepada orang ramai.
Menurut Encik Shee, perusahaan itu turut memperkenalkan sistem kotak baharu bagi membolehkan pelanggan mereka menyumbang kepada kemampanan.
“Hadir ke bangunan Yuehwa untuk menggunakan sistem kotak kami dengan mengisi apa-apa produk ke dalam sebuah kotak berdasarkan jumlah yang tertera di kotak tersebut, dan bukan mengikut harga barang.
“Sumbangan tersebut akan disalurkan kepada operasi, logistik, bengkel pendidikan kemampanan atau dikongsi kepada keluarga berpendapatan rendah di flat sewa, sekaligus dapat mengelakkan pembaziran makanan,” jelas Encik Shee lagi.
Rakan kongsi NEA, Rasel Catering adalah antara syarikat lain yang mengamalkan langkah kemampanan dengan mengitar semula bahan sisa dan memaksimumkan fungsi sisa tersebut kepada bahan bermanfaat.
Pelaburan dalam teknologi sistem penghadam sisa penghadam makanan WasteMaster, membantu memproses sisa makanan organik, serta menukarkannya kepada sumber berharga seperti penghasilan protein berkualiti tinggi untuk makanan haiwan dan akuakultur.
Bahan buangan yang dimasukkan ke dalam WasteMaster juga menyaksikan pengurangan berat bersih sisa makanan sebanyak 80 peratus. Ia menghapuskan patogen berbahaya dan mewujudkan bahan substrat yang selamat dan kaya dengan nutrien.
Melalui pelaburan tersebut, Rasel Catering bakal mengurangkan impak sisa makanan terhadap alam sekitar dan menyokong Pelan Hijau Singapura 2030 untuk menurunkan jumlah sisa ke tapak pelupusan per kapita sehari sebanyak 30 peratus.
“Rasel Catering ingin menjadi teladan dalam industri katering yang menjalankan komitmen penuh terhadap kemampanan dan peningkatan berterusan,” kata pengarah pengurusan Rasel Catering, Encik Alan Tan.
Pada masa yang sama, NEA turut menyenaraikan beberapa tabiat yang boleh diamalkan bagi mengurangkan pembaziran makanan dan bahan pakai buang, sekaligus menjimatkan perbelanjaan isi rumah.
Pertama, amalkan pembelian secara berhemah. Katakan ‘tidak’ kepada pembelian lauk berlebihan yang mungkin tidak dapat dihabiskan.
Sebelum membeli barangan rumah, periksa peti sejuk anda supaya tidak berlaku pembelian barang yang sama. Kemudian, simpan makanan hampir tamat tempoh berdekatan dalam peti sejuk agar anda ingat untuk menghabiskannya.
Sekiranya keluar membeli-belah, bawa beg sendiri atau beg guna semula untuk mengelakkan penggunaan beg pakai buang. Tinggalkan beg guna semula berhampiran pintu keluar rumah atau simpan beg tersebut di dalam beg peribadi anda.
Anda juga boleh membawa bekas makanan yang boleh diguna semula dan kutleri sendiri untuk membungkus makanan dari kedai.
Selain itu, wujudkan cara alternatif untuk membungkus sisa makanan dapur. Gunakan pembungkus roti untuk sisa dapur atau lapik tong sampah dengan pembungkus tisu tandas.
Langkah ini bukan sahaja membantu negara menguruskan sisa pepejal dengan lebih baik, malah ia juga dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar akibat sisa makanan yang berlebihan.
Menurut Bersih dan Hijau Singapura (CGS), tapak pelupusan sampah Semakau dijangka penuh pada tahun 2035. Untuk mengurangkan penjanaan sisa makanan, ia memerlukan sokongan orang ramai dalam kempen SYTWL, termasuklah anda.
Kunjungi lelaman SYTWL untuk mengetahui cara-cara mengurangkan produk pakai buang dan pembaziran makanan, serta bersama-sama merealisasikan hasrat Singapura menjadi negara sifar sisa demi masa depan yang lebih baik.
Perubahan kecil dalam tabiat penggunaan dapat menjimatkan anda seperti berikut:
- Harga bagi setiap bekas makanan bawa pulang = $0.50
- 3 kali makan sehari x $0.50 = $1.50
- 365 hari atau setahun ($1.50 x 365) = $547.50 (dibundarkan kepada $550)
- Caj beg plastik semasa: $0.05 setiap beg untuk pasar raya dan $0.05 hingga $0.10 untuk peruncit lain.
- Kadar pembelian pengguna:
+ 4 beg untuk pembelian runcit besar = $0.20
+ 1 beg untuk pembelian runcit kecil = $0.10
+ 2 beg untuk pembelian bukan runcit = $0.20
- Sebulan 4 besar + 15 kecil + 4 bukan runcit = $2.40
- 12 bulan atau setahun ($2.35 x 12) = $28.80 (dibundarkan kepada $30)
- Kos lauk di restoran makanan segera = $3 hingga $7
- 3 kali seminggu = $21
- 52 minggu atau setahun ($21x52) = $1,092 (dibundarkan kepada $1,100)
- 1 daripada 3 rakyat Singapura membuang makanan lebih daripada 10% setiap minggu. Ia mencatatkan sebanyak $258 pada 2019 bagi purata pembuangan makanan selama setahun.
- Menggunakan kalkulator inflasi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), purata pembuangan makanan berjumlah $258 pada 2019 akan menelan kos sebanyak $297.01 pada 2023 (dibundarkan kepada $300)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg