Lelaki yang dituduh membunuh jirannya, ibu dua anak kecil di Yishun Central, dibawa semula ke lokasi kejadian pada 6 Oktober untuk membantu siasatan polis.
Koh Ah Hwee, 66 tahun, dituduh membunuh warga Vietnam, Cik Nguyen Phuong Tra, di luar sebuah flat di tingkat enam Blok 323 Yishun Central pada 24 September.
Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata, Koh disoal tentang kejadian yang berlaku dan diarah menceritakan semula urutannya.
Berita Harian (BH), yang turut berada di lokasi, melihat Koh menganggukkan kepala ketika disoal polis.
Koh, yang berkemeja polo merah dan memakai pelitup, serta digari di buku lalinya, dibawa ke lokasi kejadian sekitar 10 pagi dengan dikawal pegawai polis berpakaian preman.
Dia terus dibawa naik ke flatnya di tingkat lima dan berada di situ hampir sejam.
Pada kira-kira 10:55 pagi, Koh dibawa naik ke tingkat enam, di mana serangan pada 24 September dipercayai berlaku, sebelum dibawa meninggalkan lokasi itu pada sekitar 11:25 pagi.
Koh, yang turut cedera dalam kejadian itu berdepan tuduhan membunuh pada 25 September.
Menurut dokumen mahkamah, dia didakwa menikam dada Cik Tra, 30 tahun, dengan sebilah pisau.
Suami Cik Tra, yang berusia 33 tahun, turut cedera parah, dipercayai semasa cuba menghalang Koh.
Pasangan itu bersama suspek kemudian dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) selepas kejadian yang berlaku beberapa minit sebelum 7.25 pagi. Cik Tra kemudian meninggal dunia di hospital.
Menurut para penduduk, pasangan itu tinggal di tingkat enam bersama dua anak kecil mereka, sekitar dua tahun.
Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan antara jiran. Ia dikatakan berlaku ketika mereka sedang cuba menyelesaikan pertikaian berhubung aduan bunyi bising.
Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Jackson Lam, yang menjaga kawasan itu, berkata jiran tersebut gagal menyelesaikan pertikaian mereka di Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC).
Beliau menambah, perselisihan itu kemudian dibawa ke Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT).
SPF mengatakan kes Koh akan didengar lagi di mahkamah pada 9 Oktober.
Pesalah yang disabit kesalahan membunuh menghadapi hukuman mati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg