Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serang jiran di Yishun: Seorang wanita maut; lelaki ditahan atas kesalahan membunuh

Sep 24, 2025 | 9:13 PM
kes bunuh, Yishun, wanita maut
Lelaki Cina, 66 tahun, telah ditahan polis kerana disyaki melakukan kesalahan membunuh. - Foto ST

Seorang wanita meninggal dunia selepas diserang dalam satu kejadian yang berpunca daripada pertikaian bunyi bising antara jiran tetangga di Blok 323 Yishun Central pada pagi 24 September.

Wanita tersebut dan suaminya antara tiga individu yang dikejarkan ke hospital di mana pasangan itu mengalami kecederaan serius.

Lelaki ketiga yang turut dihantar ke hospital ialah suspek yang disyaki melakukan serangan tersebut.

Menurut penduduk di tingkat dua yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Khairi, lelaki yang dibawa masuk ke dalam ambulans ialah suspek yang disyaki melakukan serangan tersebut.
Menurut penduduk di tingkat dua yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Khairi, lelaki yang dibawa masuk ke dalam ambulans ialah suspek yang disyaki melakukan serangan tersebut. - Foto KHAIRI

Semasa Berita Harian (BH) mengunjungi tempat insiden di Blok 323 Yishun Central pada kira-kira 4.30 petang, pihak polis telah mengepung kawasan kejadian di tingkat enam, serta beberapa tingkat di atas dan bawah flat berkenaan.

Pegawai polis juga kelihatan sedang mengambil kenyataan daripada beberapa penduduk di kawasan tersebut.

Semasa ditemui, seorang penduduk di tingkat tujuh yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Koh, menceritakan beliau terdengar suara orang bertengkar pada kira-kira 7.15 pagi.

“Saya berlari ke tingkat enam dan lihat penyerang menahan leher mangsa wanita itu dari belakang, kemudian dia menikam wanita itu.

“Saya terus lari balik ke flat saya dan menyuruh anak saya memanggil polis,” kata Encik Koh yang sudah menetap di situ selama dua tahun.

Encik Koh menambah: “Bila saya kembali (ke tingkat enam), saya lihat seorang lagi jiran merampas pisau dari tangan suspek.

“Kemudian, saya menahan suspek dan menolaknya ke dinding… Saya cuba menyuruhnya bertenang tetapi dia terus bergelut dengan saya untuk mengambil balik pisau itu.”

Menurutnya, pihak polis tiba lima hingga sepuluh minit kemudian.

Dalam kenyataan kepada media pada 24 September, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di Blok 323 Yishun Central pada 24 September, kira-kira jam 7.25 pagi.

Sebaik tiba di lokasi, polis menemui seorang wanita dan dua lelaki dalam keadaan cedera terbaring di koridor tingkat enam.

Siasatan awal mendapati bahawa satu pergaduhan telah tercetus berpunca daripada pertikaian mengenai gangguan bunyi bising di mana seorang lelaki warga Cina, 66 tahun, disyaki menggunakan sebilah pisau untuk mencederakan sepasang suami isteri berusia 30 tahun dan 33 tahun.

Menurut The Straits Times, wanita berbangsa Vietnam yang berusia 30 tahun itu telah dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun kemudian disahkan meninggal dunia.

Dua lelaki warga Cina, masing-masing berusia 33 dan 66 tahun, telah dikejarkan ke hospital dalam keadaan sedar. Penyerang telah ditahan polis kerana disyaki melakukan kesalahan membunuh.

Siasatan lanjut oleh polis masih dijalankan.

Seorang penduduk di tingkat sembilan, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Ismail, juga mendengar jeritan orang meminta tolong pada kira-kira 7 pagi.

“Kejiranan ini biasanya aman damai, jadi saya terkejut mendengar jeritan itu,” kata pesara 65 tahun itu.

“Isteri saya, yang merupakan ahli Rangkaian Penduduk (RN), bergegas ke bawah untuk meninjau apa yang berlaku,” tambahnya.

Menurut bekas jurutera itu, pasangan tersebut berpindah di flat itu kira-kira dua tahun lepas dan mempunyai dua anak kecil.

“Saya biasanya lihat isterinya hantar anak-anak ke sekolah pada waktu pagi,” katanya.

Mengenai pertikaian yang dikatakan berpunca daripada bunyi bising, Encik Koh berkongsi: “Dia pernah mengadu kepada saya tentang kanak-kanak (mangsa) yang buat bising… tetapi dia juga jenis suka mengadu tentang banyak perkara.” 

Tambah beliau, mangsa lelaki pernah mengagihkan risalah kepada jiran-jiran yang menyatakan bahawa bunyi bising bukan daripada rumahnya.

Sementara itu, jiran yang tinggal di tingkat dua dan mahu dikenali sebagai Encik Mohd Nasir, 69 tahun, terkejut dengan kejadian tersebut.

Encik Nasir berkata: “Dalam interaksi kami, dia (penyerang) pernah membantu kami dan peramah orangnya… dia pernah memberi kami kurma semasa bulan puasa. Jadi kami terkejut mendapat tahu tentang kejadian itu.”

Isteri beliau yang mahu dikenali sebagai Cik Fatmawati, 63 tahun, pula berkata: “Kami sedih sangat kejadian ini berlaku, saya kesiankan keluarga mangsa kerana anak-anak mereka masih kecil lagi.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg