Seorang lelaki berusia 66 tahun telah didakwa atas tuduhan membunuh berhubung serangan pisau di Yishun pada 24 September.
Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan antara jiran.
Warga Singapura, Koh Ah Hwee, yang tinggal di Blok 323, Yishun Central, dituduh membunuh warga Vietnam, Cik Nguyen Phuong Tra, di luar sebuah flat di tingkat enam blok tersebut.
Koh, yang turut cedera dalam kejadian itu berdepan tuduhan membunuh pada 25 September.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki itu didakwa menikam dada Cik Tra, 30 tahun, dengan sebilah pisau.
Suaminya yang berusia 33 tahun, turut cedera parah, dipercayai semasa cuba menghalang Koh.
Pasangan itu bersama suspek kemudian dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) selepas kejadian yang berlaku beberapa minit sebelum 7.25 pagi.
Menurut para penduduk, Cik Tra dan suaminya diserang di tingkat enam blok itu.
Pasangan itu tinggal di sebuah flat di tingkat sama, bersama dua anak kecil mereka, manakala Koh tinggal di sebuah unit di tingkat lima.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika mereka sedang cuba menyelesaikan pertikaian berhubung aduan bunyi bising.
Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Jackson Lam, yang menjaga kawasan itu, berkata jiran tersebut gagal menyelesaikan pertikaian mereka di Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC).
Beliau menambah, perselisihan itu kemudian dibawa ke Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT).
Kejadian tersebut mengakibatkan mangsa dan suaminya cedera parah, dengan wanita itu kemudian meninggal dunia di hospital, lapor The Straits Times (ST).
Menurut data polis yang dikeluarkan pada Ogos, jumlah kes jenayah fizikal meningkat, dengan 75 kejadian berkaitan pisau dilaporkan dalam enam bulan pertama 2025.
Ini berbanding 59 kes yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2024 dan keseluruhan 131 kes sepanjang 2024.
Kes Koh ditangguhkan ke 2 Oktober.
Pesalah yang disabit membunuh, berdepan hukuman mati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg