Perubahan pada sempadan pilihan raya ada kalanya tidak dapat dielakkan, dengan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Jalan Besar menyaksikan sebahagian sempadannya diubah dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Perkara paling penting adalah untuk memenuhi jangkaan dan keperluan penduduk yang menetap dalam sesebuah sempadan kawasan undi tersebut agar ia terjaga, tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan papan Maklumat Sejarah Makam Keluarga Aljunied di Masjid Omar Kampong Melaka (MOKM) pada 12 Mac, sempena acara iftar bersama.
“Perubahan pada sempadan ada kalanya tidak dapat dielakkan. Malah dalam laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) sebelum ini (pada 2020), sempadan pilihan raya GRC Jalan Besar turut berubah.
“Tumpuan kami adalah sentiasa terhadap penduduk… tidak kira siapa calon yang bertanding apabila GE berlangsung lagi, keperluan mereka menjadi keutamaan kami,” kata Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang telah berkhidmat di GRC tersebut sejak memenangi GE2020.
Cik Teo memberi ulasan sedemikian susulan pembentangan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac, dengan Jalan Besar merupakan antara GRC yang tidak menyaksikan sebarang perubahan pada sempadan pilihan raya GE2025.
Dalam Pilihan Raya 2020 (GE2020), GRC Jalan Besar menyaksikan penambahan dalam sempadannya berbanding GE2015 – GRC ini ditiadakan dalam GE2011.
Sementara itu, acara pelancaran papan maklumat yang dihadiri Cik Teo itu adalah antara usaha bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sumbangan perintis sebelum ini, khususnya bagi saudagar dermawan, Syed Omar Ali Aljunied.
Acara itu dihadiri oleh pemimpin akar umbi, anggota Harmony Circle dan sekitar 50 jemaah masjid tersebut. Cik Teo turut berbuka sama dengan Pengerusi Kehormat MOKM, Ustaz Dr Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff dan Sharifah Zahra Syed Junied Aljunied, generasi kelima Syed Omar Ali Aljunied serta mereka yang hadir.
Ditanya pihak media sekiranya beliau akan terus menerajui pasukan PAP bagi GRC Jalan Besar, Cik Teo berkata keputusan itu terletak di tangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. Namun Cik Teo menyatakan yang beliau sedia untuk terus berkhidmat.
Berkenaan muka-muka baru dalam kawasan undi ini, Cik Teo berkata ia masih terlalu awal untuk membuat apa-apa andaian atau sebarang spekulasi.
“Kami mempunyai pasukan yang sangat kukuh di sini, pasukan yang komited.
“Kami boleh rasa yakin bahawa mana-mana pasukan yang PAP calonkan (untuk bertanding) akan mempunyai tahap komitmen dan semangat yang sama untuk berkhidmat kepada penduduk, seperti yang dilakukan oleh pasukan semasa,” tambahnya.
Dalam pada itu, Cik Teo menyambut baik inisiatif papan maklumat tersebut, dan menyifatkannya sebagai “salah satu daripada banyak perkara yang perlu dilaksanakan” bagi membantu setiap generasi menghargai tahap kemajuan Singapura.
“Salah satu perkara yang mungkin anda perhatikan di papan tersebut adalah kod QR.
“Satu papan maklumat itu sendiri tidak boleh memuatkan semua maklumat dan khazanah ilmu yang telah dihimpun dan disusun serta dianjurkan selama ini, yang membantu kita menghargai sumbangan masyarakat Islam terhadap pembinaan negara,” ujarnya.
Papan maklumat sejarah makan itu menampilkan, antara lain, maklumat proses penggalian semula kubur yang bermula pada 2002, memandangkan plot perkuburan makam keluarga Aljunied ditempatkan berdekatan Jalan Kubor.
Sementara itu, selain GRC Jalan Besar, GRC lain yang tidak mengalami perubahan pada sempadan pilihan raya termasuk GRC Bishan-Toa Payoh, GRC Marsiling-Yew Tee dan GRC Nee Soon, serta SMC Bukit Panjang, Marymount dan Pioneer, jelas laporan EBRC.
Jawatankuasa itu mengesyorkan 33 divisyen pilihan raya yang terdiri daripada 18 GRC dan 15 SMC secara keseluruhan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg