Dengan sejarah masjid-masjid Daerah Selatan yang cukup lama dengan beberapa masjid di situ berusia lebih 200 tahun, tidak hairanlah masjid-masjid tersebut menjadi ‘nadi’ yang dapat menarik jemaah pelbagai bangsa dan negara.
Bagi Superintenden Daerah Masjid (Daerah Selatan), Ustaz Muhd Hafiz Abdul Rashid, 43 tahun, beliau menganggap tanggungjawabnya memantau masjid-masjid warisan Daerah Selatan itu sebagai satu penghormatan yang besar.
Masjid-masjid itu bersejarah yang menjangkaui antara 100 hingga 200 tahun itu termasuk Masjid Tasek Utara, Masjid Hajjah Fatimah, Masjid Hj Muhd Salleh Palmer, Masjid Al-Abrar, Masjid Jamae Chulia, Masjid Abdul Gafoor, Masjid Bencoolen, Masjid Sultan dan Masjid Omar Kampong Melaka.
“Saya menghargai peluang dapat berkhidmat untuk masjid-masjid yang merupakan sebahagian daripada sejarah Singapura,” ujar Ustaz Muhd Hafiz telah berkhidmat hampir 18 tahun di sektor masjid sejak 2007.
Selama memegang jawatan sebagai Superintenden Daerah Masjid Selatan, beliau telah berpeluang meraikan sama sambutan dua abad Masjid Omar Kampong Melaka pada 2020 dan Masjid Sultan pada tahun lalu.
Dibina pada 1820, Masjid Omar Kampong Melaka di Keng Cheow Street, merupakan masjid pertama dan wakaf tertua di Singapura. Sumbangan wang daripada seorang pedagang kaya, Syed Abdullah Omar Aljunied, anak kepada pengasas awal, Syed Omar Ali Aljunied, telah membinanya semula pada 1855.
Masjid Sultan pula mula dibina pada tahun 1824 atas permintaan Sultan Hussein Shah daripada kerajaan Johor Riau Lingga. Sebuah lagi masjid, Masjid Bencoolen, bakal meraikan ulang tahun ke-200 kewujudannya.
“Kewujudan sebanyak 20 masjid warisan di Daerah Selatan mengingatkan masyarakat Islam di Singapura terhadap nenek moyang kita yang telah bertungkus-lumus cuba memakmurkan masjid di negara ini. Ini termasuk masjid-masjid India Singapura yang juga terletak di Daerah Selatan, di mana ia telah ditubuhkan oleh perintis masyarakat India Muslim dalam sejarah awal Singapura,’’ ujar Ustaz Muhd Hafiz.
Kerencaman masjid-masjid di Daerah Selatan itu sedikit-sebanyak mempengaruhi jenis program yang dilakarkan agar sesuai memenuhi keperluan jemaah yang berbeza berbanding masjid-masjid satelit di estet-estet perumahan. Ini kerana selain warga tempatan, masjid-masjid di Daerah Selatan turut menarik golongan ekspatriat, pekerja asing serta pelawat antarabangsa.
Memberi contoh penglibatan pekerja asing di masjid-masjid Daerah Selatan, Ustaz Hafiz berkata masjid-masjid Daerah Selatan mempunyai bilangan sukarelawan yang ketara dengan segolongan besar merupakan pekerja asing dari Bangladesh.
Sempena sambutan dua abad Masjid Sultan tahun lalu, masjid itu telah mengagihkan beriyani percuma kepada hampir 1,000 pekerja asing di Dormitori Tuas pada 11 Oktober lalu demi menghargai sumbangan mereka terhadap masjid dan negara.
Selain itu, masjid-masjid yang terletak di kawasan pusat bandar seperti Masjid Malabar, Masjid Angullia, Masjid Abdul Gafoor, Masjid Bencoolen, Masjid Moulana Mohd Ali, Masjid Al-Abrar, Masjid Sultan dan Masjid Al-Falah membuka pintu mereka kepada ekspatriat dan para pelancong supaya mereka dapat melihat kawasan masjid tertentu dan mengenali lanjut tentang masjid-masjid tersebut serta pelbagai aktiviti sosio-keagamaan yang disediakan.
Bagi mengenang sejarah dua abad serta sumbangan besar kepada pembentukan masyarakat Islam setempat, Masjid Sultan dan Masjid Omar Kampong Melaka masing-masing telah pun menghasilkan sebuah buku khas.
Sementara itu, Masjid Malabar, Masjid Angullia dan Masjid Abdul Gafoor pula baru-baru ini melancarkan Galeri Warisan yang membentangkan maklumat padat mengenai sejarah masjid-masjid tersebut.
Meskipun kaya dari segi warisan sejarah, masjid-masjid Daerah Selatan turut memberi tumpuan kepada pembangunan penduduk di sekitaran masjid-masjid. Pelbagai program dan inisiatif unik ditawarkan kepada jemaahnya, khusus para penerima zakat.
Salah satunya, inisiatif peningkatan sosial “Thread-Up Empowerment” bermatlamat menawarkan wadah dan peluang untuk mempertingkat kemahiran dan pendapatan golongan itu.
Diperkenalkan sejak 2023, masjid dan pejabat Daerah Selatan menyediakan peluang bagi 20 penerima zakat mempelajari kemahiran menjahit bagi menjana pendapatan tambahan.
Eksekutif Kanan Pembangunan Sosial, Daerah Selatan, Cik Nur Dina Amalina Sahfuddin, berkata masjid-masjid pembangunan sosial Daerah Selatan telah bergabung dan mengenal pasti benefisiari zakat untuk program ini.
“Mereka belajar menjahit di bilik latihan yang diadakan di Masjid Jamiyah Ar-Rabitah dan Masjid Jamae (Chulia). Program itu juga disokong oleh Pejabat Daerah Selatan dan Geran Program Sokongan Zakat Muis yang membolehkan masjid-masjid membeli mesin jahit, kerusi meja dan keperluan lain,’’ kata Cik Dina.
Sejauh ini, peserta telah belajar cara menjahit kantung kembara dengan zip, beg tote, beg komputer riba dan kantung kecil daripada barangan yang dikitar semula.
Inisiatif Thread Up Empowerment bergabung dengan Kloth Woman Up (Malaysia) yang menawarkan jurulatih, modul program, bahan kitaran semula serta menyelaras dengan pelanggan bagi tempahan pukal hampir 1,000 produk.
“Sekitar 60% dari setiap kos jualan diberikan kepada peserta. Peserta juga diberi peluang lain untuk menjual produk mereka di Masjid Sultan semasa Festival QuranSG dan juga di acara Hari Keluarga Masjid Mujahidin,” tambah beliau.
“Inisiatif ini bukan hanya mempertingkatkan kemahiran dan menjana ekonomi tambahan buat keluarga golongan penerima zakat ini, tetapi ianya turut membina semangat dan keyakinan diri,” tambah Cik Dina.
Kumpulan pertama inisiatif itu telah tamat program yang dijalankan selama setahun, dan telah membawa pulang mesin jahit mereka, di mana mereka boleh mengambil tempahan peribadi.
Kumpulan kedua bakal melengkapkan program mereka pada hujung Februari 2025 dan Kloth Woman Up akan menyelaraskan sebarang tempahan pukal, sekiranya ada.
Selain itu, lima peserta mereka juga menyertai program Perniagaan Mikro Myimpact Maybank – Bengkel Perniagaan Dari Rumah anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) selama lima minggu. Dua peserta dari kumpulan itu berjaya memenangi tiga hadiah terbaik, setiap seorang menerima hadiah wang tunai bernilai $5,000.
“Kami juga telah menghasilkan aplikasi Kupon Makanan (Hot Meal Coupon app) untuk menyalurkan dana fidyah yang dikumpul daripada masjid-masjid Daerah Selatan kepada keluarga penerima zakat bagi memudahkan mereka mendapat makanan percuma di 32 gerai makanan yang telah berkerjasama dalam inisiatif ini,” kata Encik Mohamad Roslan Jamaludin, Pengurus Kanan Pembangunan Sosial, Daerah Selatan.
Selain itu, masjid-masjid Daerah Selatan juga telah melancarkan inisiatif Masjid Hijau semasa Ramadan 2023 dengan bekerjasama dengan Kloth Cares untuk menyediakan Tong Kitar Semula Kain Kloth Cares di tujuh masjid.
Sehingga hari ini, masjid-masjid seperti Masjid Al-Falah@Orchard Road, Masjid Mujahidin @Stirling Road, Masjid Angullia@Birch Road, Masjid Kampong Delta @Indus Road, Masjid Jamae Chulia @Mosque Street, Masjid Sultan @Kampong Glam dan Masjid Jamiyah Ar-Rabitah@Bukit Merah telah mengumpul sebanyak 100,000 kilogram kain, di mana kain tersebut akan dikitar semula, sejajar dengan usaha negara untuk menjaga dan menyelamatkan alam sekitar.
Menjelang Persidangan Sektor Satu Masjid pada 8 Februari ini, Ustaz Hafiz berharap ia dapat dijadikan satu wadah penting buat pada pemimpin dan kakitangan masjid menyatukan hati dan minda mereka, serta melihatnya sebagai satu peluang untuk memperkukuhkan semangat kerjasama antara masjid-masjid.
“Dengan memanfaatkan kebijaksanaan kolektif dalam diri kita semua, ia membolehkan kita mencapai tahap yang lebih tinggi untuk masjid dan masyarakat kita. Insya-Allah. Ini bersesuaian dengan anjuran hadis Baginda Rasulullah saw: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain,” tambah Ustaz Hafiz.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg