Tidak ramai individu di Singapura sedar bahawa tokoh dermawan yang mendermakan tanah bagi tapak Hospital Golongan Miskin Cina (Chinese Pauper) – kini dikenali sebagai Hospital Tan Tock Seng (TTSH) – di Pearl’s Hill pada 1844 juga merupakan perintis dalam mewujudkan institusi wakaf.
Tokoh itu ialah pedagang Arab, Syed Omar Ali Aljunied, pengasas Masjid Omar Kampong Melaka, (MOKM) yang ditubuhkan pada 1820.
Masjid yang terletak di 10 Keng Cheow Street, di kawasan Havelock Road itu adalah masjid terawal dibina dan tertua di sini.
Berkongsi maklumat itu kepada Berita Harian di luar majlis pelancaran papan Maklumat Sejarah Makam Keluarga Aljunied sempena acara berbuka puasa di MOKM pada 12 Mac, Sharifah Zahra Syed Junied Aljunied berkata Syed Omar telah mendermakan tanahnya kepada mendiang Tan Tock Seng untuk pembinaan hospital awam pertama bagi golongan miskin pada waktu itu.
Sharifah Zahra merupakan generasi kelima saudagar dermawan Syed Omar yang berasal dari Tarim, sebuah kota di Lembah Hadhramaut, Yaman.
Majlis itu dihadiri Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, tempat terletaknya masjid tersebut.
“Sebenarnya beliau (Syed Omar) bukan sahaja memberi sumbangan kepada MOKM, malah merupakan antara perintis awal Singapura yang bekerjasama dengan perintis awal daripada kaum lain, seperti mendiang Tan Tock Seng dan Tan Kim Ching.
“Bersama-sama, mereka bantu membina Singapura selepas kedatangan Sir Stamford Raffles (pada 1819) ke pulau ini. Ramai masyarakat (mungkin) sudah lupa sumbangan perintis-perintis ini,” jelas Sharifah Zahra.
Justeru, pelancaran papan maklumat sedemikian diharap dapat memberi lebih kesedaran kepada masyarakat terhadap sumbangan perintis sebelum ini seperti Syed Omar, yang “bekerjasama tanpa mengira bangsa” demi memajukan tanah air.
Mengulas perkembangan masjid itu saban tahun, Sharifah Zahra berkata masjid semestinya menjadi tumpuan masyarakat bagi berbagai acara.
Tetapi ia lebih-lebih lagi sewaktu tempoh penjajahan British, sedang Syed Omar dilantik oleh pihak British bagi bantu mengendalikan ehwal masyarakat Islam.
Papan maklumat itu menampilkan, antara lain, maklumat proses penggalian semula kubur yang bermula pada 2002, memandangkan plot perkuburan makam keluarga Aljunied ditempatkan berdekatan Jalan Kubor.
Kubur terjejas kemudian ditempatkan semula di pekarangan MOKM, termasuk Syed Omar – sejumlah lapan kubur mengandungi sekitar 92 anggota keluarga Aljunied ditempatkan di pekarangan masjid itu.
Pengerusi Kehormat MOKM, Ustaz Dr Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, berkata pelancaran itu bermakna orang ramai dapat menghayati sumbangan Syed Omar, yang bekerjasama dengan segenap lapisan masyarakat merentasi bangsa dan agama.
Ini di samping peranan beliau dalam membentuk dan mengembangkan sejarah keislaman awal di Singapura, tambahnya.
“Ini antara masjid terawal (di Singapura), jadi saya rasa inilah tempat berpusatnya penyebaran awal dakwah Islam,” ujarnya.
MOKM telah diwartakan sebagai tapak bersejarah oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) pada 2000.
Wakaf terawal Singapura, iaitu Wakaf Masjid Omar Kampong Melaka, direkodkan pada 1820 dan didermakan pedagang Arab, Syed Omar Ali Aljunied.
Syed Omar juga merupakan wakif (penyumbang wakaf) bagi Wakaf Bencoolen, yang kini menempatkan Masjid Bencoolen serta beberapa hartanah di Bencoolen Street.
Meskipun telah berkurun ditubuhkan, wakaf yang telah beliau ketengahkan itu masih lagi dinikmati masyarakat Islam sehingga hari ini.
“
“Sebenarnya beliau (Syed Omar) bukan sahaja memberi sumbangan kepada MOKM (Masjid Omar Kampong Melaka), malah merupakan antara perintis awal Singapura yang bekerjasama dengan perintis awal daripada kaum lain, seperti mendiang Tan Tock Seng dan Tan Kim Ching. Bersama-sama, mereka bantu membina Singapura selepas kedatangan Sir Stamford Raffles (pada 1819) ke pulau ini. Ramai masyarakat (mungkin) sudah lupa sumbangan perintis-perintis ini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg