Setiap orang tidak harus secara automatik menganggap pihak yang mengetahui nombor kad pengenalan (NRIC) mereka mengenali mereka dengan baik, adalah pegawai pihak berkuasa, atau boleh dipercayai.
Mereka juga tidak harus menggunakan nombor NRIC sebagai kata laluan untuk mengakses sembarang maklumat atau perkhidmatan, kata Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, Cik Josephine Teo, dalam kenyataan menteri di Parlimen pada 8 Januari.
Cik Teo berkata usaha perlu dilakukan untuk mengubah penggunaan secara salah nombor NRIC, termasuk bagi pengesahan atau sebagai kata laluan.
Pemerintah telah mula mengambil langkah-langkah untuk menghentikan penggunaan secara salah nombor NRIC, termasuk tidak menggunakannya sebagai pengesah, dan beralih daripada menggunakan nombor NRIC tersembunyi kerana ia mewujudkan rasa keselamatan yang palsu.
“Jika individu berhenti menggunakan nombor NRIC sebagai kata laluan, dan pertubuhan berhenti menggunakan nombor NRIC sebagai pengesah, ini akan membantu mencegah bahaya daripada penipuan dan kecurian identiti.
“Ia akan memberi kita semua ketenangan fikiran yang lebih baik untuk menggunakan nombor NRIC (hanya) apabila diperlukan, misalnya untuk mendapatkan rawatan perubatan atau memohon pekerjaan,” kata beliau.
Sebagaimana seseorang individu berasa sedikit curiga tatkala ada orang tidak dikenali memanggil nama mereka dan mula berkelakuan seolah-olah sudah mengenali mereka, begitu jugalah beliau harus melayani seseorang yang tahu nombor NRIC-nya tanpa beliau mengenali orang itu, kata Cik Teo.
“Kita tidak harus secara automatik menganggap mereka kenal kita dengan baik, atau adalah pegawai pihak berkuasa, atau orang boleh dipercayai.
“Kita harus berhati-hati tentang langkah mendedahkan lebih banyak butiran tentang diri kita, atau berkata ‘ya’ kepada permohonan mereka, atau mengikuti arahan mereka, tanpa melakukan pemeriksaan lanjut,” kata beliau.
Cik Teo menambah bahawa mereka yang menggunakan nombor NRIC sebagai kata laluan telah secara silap menggunakannya sebagai pengesah dan harus menukar kata laluan itu dengan segera.
Ini akan memberi individu itu perlindungan lebih baik terhadap orang yang menggunakan nombor NRIC mereka untuk mendapatkan akses kepada maklumat atau perkhidmatan.
Berhubung penipuan berkaitan NRIC, Cik Teo berkata kes sedemikian bukan perkara baru.
Kebanyakan kes seperti itu melibatkan mangsa yang fikir mereka sedang berkomunikasi dengan pegawai pihak berkuasa dan mengambil tindakan yang membahayakan diri mereka sendiri, seperti memindahkan wang tanpa pemeriksaan lanjut, tambah beliau.
Cik Teo berkata pemerintah memahami bahawa penggunaan secara salah nombor NRIC mungkin kurang difahami orang ramai, dan usaha pendidikan awam pemerintah akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pertubuhan dan individu, serta membimbing mereka tentang apa yang harus dilakukan.
Menjawab soalan Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) tentang alternatif kepada sistem nombor NRIC semasa, Cik Teo berkata risiko tidak timbul secara langsung daripada struktur nombor NRIC.
Sebalikya, risiko timbul apabila nombor NRIC, yang dimaksudkan sebagai pengenal pasti unik, digunakan secara salah sebagai pengesah atau kata laluan.
“Sekalipun kita mewujudkan pengenal pasti alternatif, kita akan tetap mempunyai masalah jika pertubuhan menggunakannya sebagai pengesah, dan individu menggunakannya sebagai kata laluan,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg