Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Josephine: Produk digital SPH Media terus kukuh, kekal capaian

Mar 7, 2025 | 7:12 PM
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (kiri), menjawab soalan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, yang menyatakan kebimbangannya mengenai prestasi SPH Media.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (kiri), menjawab soalan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, yang menyatakan kebimbangannya mengenai prestasi SPH Media. - Foto MDDI

SPH Media mengekalkan capaian keseluruhan yang kukuh merentasi semua langganan produk digitalnya, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Langganan digital kini 35 peratus lebih tinggi daripada langganan cetak, berbanding hanya 20 peratus lebih tinggi dua tahun lalu, tambahnya, manakala capaian keseluruhannya kukuh pada 70 peratus penduduk Singapura.

Bercakap di Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 7 Mac, Cik Teo berkata SPH Media tidak meminta untuk menurunkan sasaran mereka walaupun ia tidak mencapai semua KPI mereka tahun lepas.

“Mereka berazam mengekalkan capaian dan kaitan mereka dengan rakyat Singapura,” tambahnya.

Menurut seorang jurucakap SPH Media: “SPH Media berada di landasan yang baik untuk menerima kebanyakan insentif berkaitan prestasi sebanyak $28.9 juta untuk tahun kewangan 2024.

“Ini diproratakan berdasarkan laporan kemajuan dan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) yang diserahkan kepada Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) untuk tahun lalu.

“Seperti yang dikongsi oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, SPH Media terus mengekalkan capaian keseluruhan yang kukuh sebanyak 70 peratus daripada populasi penduduk.”

Sementara itu, Cik Teo berkata memandangkan peranan nasional penting entiti media perkhidmatan awam untuk memaklumkan, mendidik dan menghubungkan rakyat Singapura, Singapura mesti ambil berat sekiranya wadah ini diadang oleh platform-platform lain.

Justeru, beliau berkata MDDI sedang mengkaji langkah pengawalseliaan di negara lain untuk memastikan entiti media perkhidmatan awam dapat terus menonjol dan terus diakses dengan mudah berbanding platform-platform lain.

Semasa di Parlimen, Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, menyatakan kebimbangan mengenai prestasi SPH Media, dan turut membandingkan prestasi dan capaian CNA dengan SPH Media.

Dalam jawapannya, Cik Teo menggesa Encik Pritam supaya mengelakkan “penyederhanaan berlebihan” apabila menilai prestasi dan keberkesanan entiti media perkhidmatan awam.

Beliau turut menggesa Encik Pritam supaya melihat peranan Mediacorp dan SPH Media “secara menyeluruh”.

“Kita harus ingat bahawa CNA terutamanya adalah penyiar nasional kita serta saluran berita digital, manakala kebanyakan aset SPH Media masih dicetak.

“Walaupun mereka (SPH Media) mempunyai versi digital dan ia bertujuan menjadi akhbar rekod kebangsaan, (peranan mereka) berbeza dan saling melengkapi.

“Dengan rendah hati, saya mencadangkan kepada anggota supaya melihat prestasi media perkhidmatan awam secara menyeluruh, kerana sebenarnya kita memerlukan mereka semua untuk menjangkau seberapa ramai rakyat Singapura yang boleh,” kata Cik Teo.

Beliau menekankan di sebalik cabaran yang dihadapi Mediacorp dan SPH Media, CNA dan The Straits Times kekal sebagai saluran berita yang paling kerap dikunjungi, dengan lebih 40 peratus rakyat Singapura membacanya setiap minggu.

Kepercayaan orang ramai terhadap media arus perdana Singapura juga kekal tinggi, kata Cik Teo, dengan CNA dan The Straits Times menjadi saluran berita paling dipercayai oleh rakyat Singapura, masing-masing sebanyak 74 peratus dan 73 peratus.

Selain menilai jangkauan entiti media perkhidmatan awam, beliau menjelaskan bahawa adalah penting juga untuk melihat tahap kepercayaan dan tahap kepuasan yang saluran berita dapat manfaatkan daripada orang awam.

Walaupun Mediacorp merupakan salah satu saluran yang paling kerap dikunjungi, Cik Teo berkata bahawa televisyen penyiaran juga menghadapi “ancaman” dengan pengguna kian beralih ke platform seperti YouTube atau Netflix.

Meskipun entiti media perkhidmatan awam menggunakan platform ini, pengalaman di luar negara menunjukkan bahawa penempatan dan algoritma dalam persekitaran digital merugikan mereka, katanya.

“Negara seperti UK dan Australia telah membuat peraturan baru. Mereka kini memerlukan TV Bersambung untuk dimuatkan dengan aplikasi media perkhidmatan awam seperti BBC iPlayer atau ABC iview dan untuk memaparkan aplikasi ini dengan jelas pada antara muka pengguna mereka.

“Memandangkan peranan nasional penting entiti media perkhidmatan awam kami untuk memaklumkan, mendidik dan menghubungkan warga Singapura, kita mesti prihatin tentang keterlihatan mereka yang dikaburkan oleh keputusan platform pihak ketiga,” kata Cik Teo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg