Josephine: Rakyat S’pura perlu belajar bekerjasama dengan AI
Josephine: Rakyat S’pura perlu belajar bekerjasama dengan AI
Tumpuan kini kepada kumpulan ejen AI laksana pelbagai tugas untuk manusia
Singapura berhasrat membentuk masa depan di mana rakyatnya dapat menunjukkan prestasi kerja yang lebih baik dan bekerja seiring dan bersama kecerdasan buatan (AI), bukannya meletakkan diri mereka dalam pertentangan dengan teknologi tersebut.
Berucap di Simposium Human+ NTUC LearningHub 2026 yang berlangsung di Andaz Singapore pada 29 Januari, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata tumpuan kini telah beralih daripada individu menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti kepada kumpulan ejen AI yang melaksanakan pelbagai tugas bagi pihak manusia.
Ejen AI direka untuk membuat keputusan secara autonomi dan mampu melaksanakan tugasan kompleks bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Secara semula jadi, peranan manusia akan berubah, kata Cik Teo.
Beliau memberi contoh bahawa jurutera perisian hari ini tidak lagi menulis kod panjang.
Sebaliknya, ia menyediakan kenyataan masalah yang jelas untuk membimbing pembantu pengekodan AI untuk melaksanakannya.
Mereka juga mengesahkan hasil daripada sistem pengekodan tersebut serta menggunakan prinsip reka bentuk untuk menyelaras sistem.
Mengibaratkan generasi baru pembangun perisian ini seperti konduktor orkestra yang perlu mempunyai pemahaman mendalam tentang bagaimana pelbagai unsur dapat digabungkan untuk menghasilkan muzik, Cik Teo berkata golongan pembangun ini perlu mencari cara untuk bekerjasama antara satu sama lain dan dengan ejen AI.
“Ia mungkin tidak selalu dapat dilakukan, tetapi sebagai titik permulaan, pendekatan kita seharusnya menggunakan AI untuk menambah keupayaan kita, bukannya menggantikan kita,” ujarnya.
Perubahan ini berlaku sedang kemajuan baru dalam AI semakin pesat.
Menukil satu esei ketua pegawai eksekutif firma AI Amerika, Anthropic, Encik Dario Amodei, Cik Teo berkata satu cara untuk memahami skala dan kelajuan pembangunan AI yang bakal berlaku ialah dengan membayangkan sebuah negara yang dipenuhi genius yang akan muncul di dunia dalam tempoh setahun akan datang, di dalam satu pusat data.
Penduduknya, dianggarkan sekitar 50 juta, akan mengatasi mana-mana pemenang Nobel, negarawan atau teknologi dari segi keupayaan dan beroperasi pada kelajuan jauh melebihi manusia.
Singapura turut berharap dapat melatih rakyat ‘berdwibahasa AI’, iaitu mereka yang boleh berfikir dalam dua bahasa iaitu ‘bahasa ibunda’ berkaitan kepakaran profesional seperti pembuatan atau undang-undang; dan bahasa bersama baru AI.
“Keperluan baru ialah membangunkan kefahaman atau kefasihan dalam kerjasama AI, memahami cara mengarah sistem AI, menanggapi hasilnya dan mengintegrasikan keupayaannya ke dalam tugasan kita,” kata Cik Teo.
Beliau menambah bahawa dwibahasa dalam erti kata ini membantu Singapura mencapai matlamat untuk melakukan lebih baik dengan AI, bukan bersaing dengannya.
“Contohnya dalam sektor pembuatan, jurutera proses yang mempunyai pengetahuan sains data dan pembelajaran mesin boleh menggunakannya untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan mengurangkan pembaziran bahan,” katanya.
Mengakui proses untuk memperoleh kefasihan baru ini bukan mudah, Cik Teo berkata pemerintah akan terus membantu perniagaan dan orang ramai meningkatkan kemahiran serta memanfaatkan AI secara berkesan sebagai rakan sepasukan.
Pada acara tersebut, beliau turut melancarkan sebuah akademi kepimpinan baru untuk membantu pemimpin perniagaan membangunkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kecerdasan emosi dan pemikiran kritikal.
Dikendalikan oleh NTUC LearningHub (NTUC LHUB), cabang latihan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), akademi baru itu bertujuan mengisi jurang kepimpinan utama yang dikenal pasti di tempat kerja di Singapura.
Menurut Laporan Kepimpinan dan Kejurulatihan NTUC LHUB 2025, hanya 27 peratus pemimpin perniagaan merasakan mereka kini memiliki kemahiran komunikasi yang berkesan.

