Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, telah memberi amaran kepada orang ramai tentang mesej penipuan yang mendakwa berasal daripada Kastam Singapura selepas beliau sendiri menerima beberapa mesej sebegini.
Dalam catatan Facebook pada 22 September, Encik Lee berkata beliau baru-baru ini menerima beberapa mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya daripada Kastam Singapura yang memberitahunya tentang sebuah bungkusan yang ditahan.
Beliau fikir mesej itu benar pada mulanya kerana ia mempunyai penghantar abjad angka dan bukan nombor telefon, tulisnya.
“...Saya tahu bahawa sekarang kita mempunyai Pendaftar ID Pengirim SMS (SSIR), hanya pengirim yang sah boleh menggunakan ID abjad angka,” katanya.
“Tetapi mesej daripada semua kementerian dan agensi Pemerintah Singapura menggunakan gov.sg sebagai ID pengirim (https://www.sms.gov.sg/), dan mesej ini tidak.”
Sebaliknya mesej-mesej tersebut seolah-olah datang dari alamat e-mel yang tidak diketahui dan pelik, kata SM Lee, yang membuat kesimpulan bahawa ini adalah mesej penipuan.
Semasa beliau tertanya-tanya bagaimana mesej penipuan boleh melalui sistem SSIR ini, beliau berkata Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menjelaskan bahawa perlindungan SSIR hanya meliputi SMS yang dihantar melalui syarikat telekomunikasi, dan bukannya aplikasi pemesejan dalam talian seperti iMessage pada telefon Apple, atau Perkhidmatan Komunikasi Aneka (RCS) pada telefon Android.
“Apple atau Android kemudian menggabungkan mesej teks ini dengan SMS lain, yang mana anda dan saya boleh mudah keliru dan menganggapnya datang daripada pengirim berdaftar yang sah,” tambahnya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membalas mesej yang dihantar melalui aplikasi pesanan dalam talian sehingga identiti pengirim dapat disahkan.
“Pengirim mungkin bukan nombor telefon tetapi alamat e-mel atau beberapa ID abjad angka lain, tetapi itu tidak bermakna ia tulen,” katanya.
Jika ragu-ragu, sahkan kesahihan maklumat dengan organisasi berkenaan secara langsung, tambahnya.
“Akhir sekali, kongsi dengan orang yang anda sayangi mengenai taktik penipuan yang tersebar seperti ini, supaya mereka tidak menjadi mangsa penjenayah ini.”
Pada Jun, beliau memberi amaran kepada rakyat Singapura tentang penipuan palsu mendalam, atau deepfake, selepas beliau sekali lagi digambarkan mempromosikan produk pelaburan dalam satu penipuan sedemikian.
Deepfake adalah satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.
Dalam video deepfake itu, beliau dilihat meminta penonton mendaftar untuk produk pelaburan yang mendakwa memberi pulangan terjamin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg